Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guna bawang China, Thai, Myanmar, kata KPDNHEP
Diterbitkan:  Dec 3, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

PARLIMEN l Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan pengguna supaya memilih bawang merah import dari negara lain susulan harga bawang dari India melonjak pada masa ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rasol Wahid berkata sehubungan itu, pengguna mempunyai pilihan membeli bawang merah yang dimport dari beberapa negara lain seperti China, Thailand dan Myanmar dengan harga pasaran yang lebih rendah.

"Kita akui kenaikan harga bawang dari India kerana pengeluaran produk itu mengalami kemerosotan akibat bencana banjir di negara berkenaan, maka harganya meningkat mendadak,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat hari ini.

Harga bawang merah India di negara ini naik melambung sejak dua hingga tiga minggu lalu sehingga RM18 sekilogram berbanding hanya RM3 hingga RM4 sekilogram sebelum itu.

Rosol berkata KPDNHEP sentiasa melakukan penguatkuasaan bagi memastikan harga barang dalam keadaan stabil terutama dalam keadaan rakyat terkesan akibat penularan pandemik COVID-19, termasuk penguatkuasaan di sempadan bagi mengelakkan ketirisan produk subsidi untuk rakyat negara ini.

Menjawab mengenai perbelanjaan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) sebanyak RM10 juta yang dikatakan dipotong dalam Belanjawan 2021, Rosol berkata ia tidak dipotong sebaliknya dimasukkan dalam perkara Hal Ehwal Kos Sara Hidup dan Pendidikan.

"Jadi program berkaitan kos sara hidup ini masih boleh dijalankan bagi memastikan rungutan mengenai kenaikan kos sara hidup terutama rakyat luar bandar dapat ditangani," katanya.

Peruntukan bagi kementerian itu kemudian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara terbanyak. Seramai 11 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat jawatankuasa sebelum digulung oleh Rosol.

Terdahulu, peruntukan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa setelah melalui proses undi belah bahagian.

Sebanyak 110 bersetuju, 104 tidak bersetuju manakala enam tidak hadir.

- Bernama

Lihat Komen
ADS