Alat bantuan pernafasan (ventilator) yang terbakar di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) di Kota Kinabalu, Sabah hari ini adalah mesin baru yang diperoleh tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dia yakin kejadian itu tidak ada kaitan dengan isu peralatan lama.
"(KKM) masih belum terima laporan lengkap. Tapi ini mungkin bukan berkenaan ventilator kerana (KKM ada) 1,556 ventilator dan guna pakai kurang 100.
"Jadi kapasiti ventilator tu ada dan ini ventilator baru kita perolehi ketika gelombang kedua (wabak Covid-19)," katanya kepada wartawan hari ini.
Noor Hisham mengulas kejadian yang berlaku di Wad Dependensi Tinggi (HDU) HQE 2 tengah hari ini, yang menyaksikan ventilator berkenaan tiba-tiba terbakar ketika sedang digunakan pesakit.
Tindakan segera oleh jururawat yang bertugas memadamkan api dengan alat pemadam kebakaran dan mematikan bekalan oksigen berjaya mencegah kebakaran daripada merebak.

Pada April lalu, Noor Hisham berkata kerajaan memperoleh 956 ventilator sebagai persediaan bagi menghadapi wabak Covid-19.
Sementara itu, Noor Hisham juga ditanya mengenai percubaan Fasa III vaksin yang dibangunkan oleh Institut Biologi Perubatan di Akdemi Sains Perubatan China (IMBCAMS) yang berpusat di Beijing.
Perkara itu pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bulan lalu, yang mengatakan ia merupakan perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan dengan China.
Menurut Noor Hisham, percubaan itu akan melibatkan kira-kira 3,000 individu.
"Pada masa ini, Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA) sedang melihat profil keselamatan vaksin sebelum mereka memberi kebenaran Lesen Import Percubaan Klinikal (CTIL), yang merupakan lesen yang diperlukan untuk membawa produk farmasi untuk percubaan klinikal.
"Protokol kajian telah dibahas oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) dan mereka akan bersidang semula pada 10 Dis 2020 sebelum memutuskan untuk menyetujui protokol tersebut. Ini untuk memastikan bahawa kajian akan dilakukan dalam undang-undang dan etika penyelidikan,"katanya.
