Malaysiakini
BERITA

Sabah benar kemasukan individu untuk lawatan sosial - Masidi

Bernama

Diterbitkan

Kerajaan negeri Sabah hari ini bersetuju untuk membenarkan kemasukan individu ke negeri ini untuk tujuan lawatan sosial, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata kebenaran itu melibatkan tiga kategori iaitu kemasukan domestik pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS; pemegang pas imigresen jangka panjang bukan warganegara yang masih sah tempoh dan suami atau isteri rakyat Sabah serta tanggungan mereka.

“Semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian calitan pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan.

“Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah,” katanya, yang juga jurucakap rasmi COVID-19 kerajaan negeri, pada sidang media di sini, malam ini.

Beliau berkata selain lawatan sosial, kerajaan negeri juga membenarkan kemasukan bukan warganegara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang, tetapi mereka wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang ingin keluar dari negeri ini juga tidak lagi perlu mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Langkah ini akan membolehkan Sabah membuka semula sektor pelancongan dan proses menormalkan semula perjalanan negeri ini. Selain itu terdapat juga ahli keluarga yang sudah lama tidak bertemu boleh jumpa keluarga terutama ketika musim perayaan Krismas tidak lama lagi,” katanya.

Masidi berkata kebenaran yang diberikan itu dijangka tidak menyebabkan kebanjiran kemasukan secara tiba-tiba kerana negeri lain terutama di Semenanjung turut menghadapi ancaman COVID-19 menyebabkan pergerakan amat terhad.

“Perincian perkara ini dijadual diumumkan peringkat persekutuan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri esok termasuk bila berkuatkuasa dan tempoh pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Sabah yang tamat Ahad ini (6 Dis),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama pihak berkuasa berkaitan telah menjalankan operasi bersepadu untuk mengatasi isu golongan gelandangan berkeliaran ketika PKPB bagi memastikan mereka tidak menjadi pembawa penyakit termasuk COVID-19.

“Jika terdapat keperluan, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan ujian saringan kepada golongan itu sepanjang PKPB.

“Gelandangan warganegara yang berkeliaran dan melanggar SOP semasa PKPB ditahan dan ditempatkan sementara di Pusat Bina Jati Diri bawah JKM,” katanya.

Masidi berkata bagi gelandangan dalam kalangan bukan warganegara yang tidak mempunyai dokumen sah, mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan ditempatkan di pusat tahanan di bawah jabatan berkenaan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.