Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Peruntukan RM3 bilion bukan untuk vaksin Pfizer saja
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 4:52 PM
Dikemaskini: Dec 9, 2020 6:19 AM

PARLIMEN | Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa keseluruhan RM3 bilion yang disediakan untuk akses kepada vaksin akan digunakan untuk membeli vaksin daripada syarikat Amerika Syarikat, Pfizer.

Khairy berkata dia maklum akan kenyataan yang dikatakan dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Umno-Gua Musang) bahawa pembelian vaksin Pfizer akan menelan kos RM2 bilion, manakala RM1 bilion diperlukan untuk kos penyimpanan dan pengagihan.

“Ini kenyataan yang tular hari ini kononnya dibuat atas nama Gua Musang. Dia kata perolehan harga Pfizer sampai RM2 bilion, simpanan sampai RM1 bilion.

“Saya boleh nyatakan dengan jelas dalam Parlimen Dewan Rakyat ini bahawa ia tidak berasas dan tidak betul sama sekali," katanya.

Katanya lagi, nilai perjanjian dengan Pfizer dan menerusi usaha global pengagihan vaksin Covid-19 (Covax) di bawah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk vaksin bagi 30 peratus rakyat Malaysia termasuk dalam peruntukan RM3 bilion tersebut.

Khairy menjawab soalan Dzulkefly Ahmad (PH - Kuala Selangor) yang meminta perincian harga perolehan vaksin berkenaan.

Untuk rekod, jumlah RM3 bilion itu ialah jumlah keseluruhan yang diperuntukkan kerajaan untuk membiayai perolehan vaksin Covid-19, seperti diumumkan di dalam Belanjawan 2021.

Kata Khairy, dia tidak dapat mendedahkan harga sebenar perolehan vaksin memandangkan ia melibatkan perjanjian tanpa pendedahan (NDA).

Namun dia mengakui pengeluar vaksin berkenaan menawarkan harga mengikut tingkatan negara (tier), dan kerajaan "dapat menerima" harga yang ditawarkan kepada Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan yang dikatakan dari Tengku Razaleigh yang mempersoalkan peruntukan keseluruhan RM3 bilion untuk perolehan, penyimpanan dan penggunaan vaksin Covid-19.

Menurut laporan, Tengku Razaleigh mendakwa ada “khabar angin” bahawa perjanjian antara kerajaan dengan Pfizer melibatkan kos RM2 bilion untuk pembelian vaksin, manakala kos pengedaran dan penyimpanandan pengedaran dikatakan mencecah RM1 bilion.

Vaksin yang dibangunkan Pfizer perlu disimpan di suhu -80 darjah Celcius.

Terdahulu, Khairy memaklumkan kerajaan telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30 peratus jumlah populasi negara.

Perjanjian itu melibatkan Covax (bekalan untuk 10 peratus populasi) serta Pfizer yang (bekalan untuk 20 peratus daripada populasi). 

Lihat Komen
ADS