mk-logo
Berita
Jururawat, pemandu Jabatan Kesihatan Pahang maut kemalangan
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 9:02 AM
Dikemaskini: 9:02 AM

Seorang jururawat dan pemandu Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) maut manakala seorang doktor cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori tangki di Kilometer (km) 32 Jalan Pekan-Rompin, kira-kira 40 kilometer (km), dari Kuantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata kejadian jam 10 pagi itu menyebabkan Mohd Zuhairi Abdullah, 35, yang memandu kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Julayha Kudus, 39, jururawat di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, yang duduk di bahagian penumpang belakang, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Kejadian itu turut menyebabkan Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, cedera di kepala namun difahamkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di Kuantan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dipandu lelaki berusia 34 tahun terbabas dan masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mangsa dari arah Pekan menghala ke Rompin.

“Lori tangki itu juga dipercayai turut melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang suri rumah bersama dua anaknya, menyebabkan Myvi itu terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan di Kuantan.

Mohd Razli berkata pemandu Myvi yang berusia 41 tahun dan anak perempuan berusia lima tahun bagaimanapun hanya cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nenasi, Pekan manakala seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun tidak cedera.

Pemandu lori tangki yang berasal dari Mersing, Johor juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah, ketika dihubungi Bernama, berkata ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Api Larat di Nenasi.

“Mereka merupakan sebahagian daripada Pasukan Bergerak Orang Asli JKNP yang akan ke penempatan masyarakat tersebut bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi Mohd Shafie Sulong berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.18 pagi tadi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda yang remuk teruk akibat kemalangan tersebut.

Tujuh anggota dan satu jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Paling Popular
Terkini