Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi: Guna istilah 'mabuk' sebagai kiasan
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menafikan bahawa dia membuat kenyataan bersifat menghina terhadap masyarakat India berhubung isu perobohan kuil Hindu di Kuala Kedah.

Mendakwa kenyataannya sengaja diputar belit, Sanusi berkata dia menggunakan istilah 'mabuk' sebagai kiasan.

“Kalau tak faham apa yang dinyatakan itu, saya fikir mereka perlu masuk semula kelas bahasa Melayu. Sebab bahasa Melayu ini penuh dengan kiasan dan bidalan.

“Kata-kata kiasan dan bidalan ini tidak bermaksud secara terus sebaliknya ada makna tersirat.

“Sebagai contoh orang mabuk cinta, bukannya dia mabuk dan bercinta sebaliknya cuma ‘syok’ kepada cinta dan itulah juga yang dimaksudkan dengan mabuk populariti seperti saya nyatakan itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Pada 5 Dis lalu, Sanusi membidas pihak yang membangkitkan isu perobohan kuil itu dan berkata ada yang 'mabuk todi populariti' dalam isu tersebut.

Katanya, isu itu bukanlah berkaitan undang-undang, bukannya "isu perkauman, agama atau diskriminasi".

Susulan itu, beberapa ahli politik mengkritiknya, antaranya Presiden MIC S Vigneswaran yang menyifatkan kenyataan itu sebagai menjengkelkan manakala Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata ia adalah "biadab dan tidak beretika sama sekali."

Kuil Hindu di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang dikatakan berusia 50 tahun dan didirikan di tanah milik kerajaan negeri dirobohkan pada 1 Dis lalu. Tapak itu dilaporkan akan digunakan untuk membina gelanggang futsal.

Selain itu, tapak sebuah dewan silat dan lima kawasan pakir  juga akan digunakan untuk tujuan sama.

Lihat Komen
ADS