Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokongan majoriti tak semestinya dibuktikan di parlimen - speaker
Diterbitkan:  Dec 8, 2020 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Soal sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti atau tidak boleh juga dibuktikan di luar parlimen, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Kenyataannya itu secara tidak langsung mengalihkan beban ke bahu musuh politik Muhyiddin bagi membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti, apabila Azhar tidak dapat mempercepatkan usul tidak percaya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini mendakwa mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk menjadi perdana menteri, tetapi belum membuktikan dakwaan itu.

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pula turut mencabar Muhyiddin untuk membuktikan sokongan majoriti yang dimilikinya.

Azhar membangkitkan kes pertukaran kerajaan negeri di Perak pada 2009, dan Sabah pada 2018.

“Bagaimana keyakinan itu hendak dinyatakan dan dizahirkan? Kita perlu lihat undang-undang kes.

“Undang-undang kes yang paling terkenal dalam Malaysia, yang paling tinggi autoritinya ialah Nizar (Mohammad Nizar Jamaluddin) melawan Zambry (Zambry Abdul Kadir) di Mahkamah Persekutuan.

“Undi tidak percaya atau undi keyakinan, tak perlu datang daripada dewan. Itu yang sudah diterima di Malaysia, itu undang-undang kita.

“Begitulah yang terjadi di Perak, begitulah yang terjadi di Sabah,” katanya, turut menambah terdapat dua kali cubaan menukar kerajaan Sabah sejak 2018, kedua-duanya dilakukan di luar DUN.

BN melakukan rampasan kuasa di Perak pada Februari 2009 apabila tiga Adun Pakatan Rakyat mengisytiharkan menjadi Adun bebas.

Ketiga-tiganya kemudian menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru, yang membawa kepada siri pertembungan di mahkamah antara bekas menteri besar PAS Nizar Jamaluddin dan Zambry Abdul Kadir dari Umno.

Akhirnya, pada Februari 2010, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Zambry sebagai menteri besar yang sah.

Keputusan itu dibuktikan sekali lagi apabila BN cuba mencabar pengambilalihan kuasa kerajaan negeri Sabah oleh Warisan menerusi gerakan lompat parti, tidak lama selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

Terdahulu, RSN Rayer (PH - Jelutong) meminta Azhar mengambil iktibar daripada penyingkiran Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu sebagai menteri besar Perak menerusi undi tidak percaya minggu lalu.

Kata Azhar, dia tidak terikat dengan tindakan speaker lain, lebih-lebih lagi speaker DUN, dan menegaskan yang dia tiada kuasa untuk mengutamakan usul itu.

“Saya tak ada kuasa. Kalau mana-mana YB berminat untuk mengetahui secara panjang lebar, saya bersedia untuk menunjukkan kajian saya kepada semua. Saya tak buat (keputusan) ini ikut suka hati saya semata-mata (willy nilly),” katanya.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen
ADS