Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan tahan 2 anggota disyaki paksa seks oral, cabul dan rakam

Polis Kelantan menahan dua anggotanya dipercayai melakukan seks oral, mencabul serta memaksa sepasang kekasih melakukan hubungan seks dan membuat rakaman video dalam kejadian di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata kejadian berlaku jam 10.45 malam ketika dua anggota polis sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan pasangan kekasih berusia 20-an yang berada dalam sebuah kereta di tepi jalan.

Katanya, suspek masing-masing berusia 31 dan 35 tahun yang berpangkat lans koperal dan konstabel turut melakukan peras ugut wang tunai lebih RM1,200 selain turut menumbuk salah seorang mangsa.

"Anggota polis berkenaan dikatakan menumbuk salah seorang mangsa sambil mengugut dengan meminta wang RM1,200 supaya kes berkenaan tidak dirujuk ke pejabat agama.

"Selepas memperoleh wang berkenaan yang diambil di mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan, anggota polis berkenaan juga didakwa menyuruh pasangan kekasih itu melakukan hubungan seks dalam kenderaan mangsa sambil aktiviti itu dirakam menggunakan telefon bimbit anggota polis.

"Mangsa wanita berkenaan juga mendakwa dia dipaksa melakukan seks oral selain dicabul oleh seorang anggota polis ketika kekasihnya mengambil wang di ATM," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat pasangan mangsa itu pada Ahad lalu iaitu dua hari selepas kejadian.

Susulan itu jelasnya, kedua-dua dua anggota terbabit ditahan dan kini direman seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377c, 354 dan 384 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, kita mengambil kira semua dakwaan mangsa dan siasatan menyeluruh akan dijalankan.

"Sekiranya benar anggota kita terbabit dalam kegiatan jenayah, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. 

Lihat Komen
ADS