Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung Moktar tawar diri diuji vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 2:16 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin menawarkan diri menjadi orang pertama di negara ini untuk menerima vaksin Covid-19.

Menggesa kerajaan agar mempercepat perolehan vaksin Covid-19 supaya dapat diedarkan segera kepada rakyat, kata Bung, jika ada pihak yang bimbang tentang keselamatan vaksin berkenaan, maka dia rela menjadi orang pertama diuji dengan vaksin itu.

“Panglima perang kena dahulu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa untuk kementerian kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya dengar khabar, bahawa vaksin ini sudah ada, dan Indonesia dah memeterai perjanjian dengan China dan negara-negara lain. Kenapa Malaysia belum? Kalau (sudah) ada vaksin ini, keluarkanlah.

“Dan kalau perlu diuji awal-awal, sayalah orang pertama menawarkan diri, ujilah, saya tak takut. Saya mahu sihat,” katanya lagi.

Bung berkata demikian sebagai respons kepada Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanya tentang pengendalian vaksin yang akan diperoleh itu dan kepada siapa ia akan diuji di Malaysia.

Wong pernah dijangkiti Covid-19 semasa gelombang pertama Covid-19 dahulu sehingga menyebabkannya koma selama 42 hari.

Untuk rekod, kerajaan menjangkakan untuk memperoleh vaksin bagi keperluan 30 peratus populasi rakyat Malaysia melalui syarikat farmaseutikal Pfizer yang berpusat di AS dan melalui pelan global pengagihan vaksin Covid-19 yang digelar Covax.

Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi pemerolehan bekalan vaksin berkenaan.

Kata Bung, dia turut mengambil peranan menyampaikan pesanan kepada masyarakat bahawa vaksin yang akan diperoleh nanti selamat untuk digunakan.

“Saya bagitahu rakyat di luar sana - Jangan bimbang, sebab pembekal vaksin ini memberi jaminan bahawa ini adalah vaksin yang tulen bukan tiruan, bukan palsu punya.

“Kalau ada vaksin ini, bermakna kita boleh membebaskan masyarakat kita daripada Covid-19,” katanya lagi.

Dalam perbahasannya, Bung turut membangkitkan soal kemudahan dan pengurusan hospital di Sabah yang diharapkan dapat ditambah baik, khususnya di Kinabatangan, lebih-lebih lagi dalam musim Covid-19.

Ini termasuklah juga soal kelengkapan dan bilangan doktor.

Katanya, meskipun telah meminta peruntukan, namun dia sendiri tidak tahu kenapa peruntukan sukar disalurkan kepada hospital terpencil di luar bandar.

“Berilah keadilan kepada rakyat jauh di luar bandar. Jangan tengok bandar saja. Kalau bandar, asal ada masalah saja, selesai. Tapi di luar bandar, macam tak nampak.

“Ini satu penganiayaan kepada rakyat saya di Kinbatangan,” katanya.

Lihat Komen
ADS