Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadar pengangguran terus rekod trend penurunan
Diterbitkan:  Dec 9, 2020 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

PARLIMEN l Kadar pengangguran negara terus merekodkan trend penurunan daripada 5.3 peratus atau seramai 826,100 penganggur pada Mei lepas kepada 4.6 peratus atau 737,500 penganggur pada September lalu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata kadar pengangguran pada Disember dijangka melihat penurunan kepada 4.5 peratus dan trend itu akan berterusan ke tahun 2021.

“Pemulihan pasaran buruh Malaysia dapat diperhatikan dengan kadar pengangguran menurun daripada paras tertinggi 5.3 peratus (Mei) kepada 4.9 peratus atau 773,200 orang pada Jun. Kadar pengangguran terus menurun kepada 4.7 peratus iaitu 745,100 orang pada Julai dan kekal pada kadar sama pada Ogos.

“Data terkini Survei Tenaga Buruh (STB) pada September menunjukkan kadar pengangguran telah menurun kepada 4.6 peratus dengan bilangan penganggur seramai 737,500 orang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua bermula 14 Okt lalu dan sejauh mana pelaksanaan PKPB ini memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.

Jelasnya, berdasarkan data kementerian, jumlah pemberhentian pekerja yang dilapor Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial sehingga 27 Nov adalah seramai 99,696 orang.

“Sementara itu, seramai 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja pula telah berjaya mendapat pekerjaan. Pelbagai pakej rangsangan telah disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan STB oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan amat terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Saravanan berkata hanya 2.06 peratus atau 6,175 orang mencarum dalam Program Platform Ekonomi Gig (PenjanaGig) berbanding sasaran 300,000 orang.

Program tersebut bertujuan menjamin keselamatan sosial dan kebajikan golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang melibatkan aktiviti pekerjaan ekonomi gig.

Justeru, beliau berkata kementerian akan memperbanyakkan promosi bagi memastikan mereka yang sebahagian besarnya merupakan golongan B40 mencarum dalam program itu sekali gus menikmati kemudahan seperti faedah perubatan serta elaun hilang upaya sementara dan kekal.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Bebas-Kubang Pasu) mengenai kadar caruman program PenjanaGig yang dilapor masih rendah.

Menjawab pertanyaan Amiruddin mengenai caruman PenjanaGig yang mahal iaitu pada kos RM69.80 setahun, Saravanan berkata kadar itu adalah lebih murah berbanding penyedia insurans konvensional di pasaran.

“Sebagai contoh RM7.12 sebulan atau RM85.44 setahun dengan kadar paling rendah bagi penyedia insurans konvensional untuk perlindungan Personal Accident,” katanya.

Menurutnya, di bawah PenjanaGig, kerajaan membiayai 70 peratus bayaran caruman manakala baki 30 peratus dibayar OBS melalui platform penyedia perkhidmatan di bawah caruman Pelan Kedua iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun.

Katanya, pendapatan yang diinsuranskan di bawah Pelan Kedua adalah sebanyak RM1,550 iaitu OBS hanya perlu membayar RM69.80 manakala RM163 ditanggung kerajaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS