Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM pantau kesan kelonggaran sekatan perjalanan pasca-PKPB

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau kesan kelonggaran yang diberikan kepada orang ramai selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ditamatkan di kebanyakan kawasan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan itu dibuat berdasarkan jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan setiap hari.

Dalam keadaan sekarang katanya KKM menjangkakan jumlah kes positif harian ialah antara 845 hingga 1,700 bagi tempoh dua minggu akan datang.

"Jadi KKM akan pantau tempoh dua minggu ini.

"Melihat pada perkembangan kes harian - kalau perkembagan kes harian seperti dijangkakan - kita boleh hidupkan ekonomi kita.

"Tapi kalau bertambah, kita kena fikirkan atau gunakan strategi-strategi lain," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Noor Hisham ditanya mengenai jangkaan kes positif baru ekoran keputusan kerajaan tidak menyambung PKPB di kebanyakan kawasan kecuali beberapa negeri atau kawasan tertentu yang mencatatkan kes positif atau kes aktif yang tinggi.

PKPB di kawasan terbabit ditamatkan pada 6 Dis lalu.

Pun begitu bagi kawasan terbabit mereka sebenarnya masih diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang masih menguatkuasakan beberapa peraturan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa juga memberi kelonggaran untuk orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah - kecuali bagi kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) - dengan syarat semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Noor Hisham berkata walaupun kerajaan memberi kelonggaran sekarang dan pergerakan dibenarkan, orang ramai perlu memastikan mereka tidak terdedah kepada kes positif atau risiko dijangkiti Covid-19.

"(Memang) kita beri kelonggaran, tapi kita juga perlu kawal... kita belum menang lagi dan kita juga belum kalah.

"Sekarang kita masih dalam peperangan tersebut," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS