Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Gabungan baru mesti bertujuan lawan pemimpin kleptokrat'
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 9:05 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Timbalan Presiden Penaja Pejuang Marzuki Yahya berkata, satu gabungan baru perlu ditubuhkan untuk melawan pemimpin-pemimpin kleptokrat, berbanding kerjasama yang hanya bermatlamatkan kuasa politik.

Marzuki berkata, kecelaruan politik telah membawa kepada isyarat mengelirukan, termasuk kesanggupan DAP untuk bekerjasama dengan Umno, yang menurutnya "dipimpin oleh kleptokrat".

Katanya, sebelum itu Perikatan Nasional (PN) telah menjatuhkan kerajaan PH atas alasan DAP mengawal pergerakan dan keputusan yang dibuat pemimpin Melayu dalam PH.

Mereka juga mahu menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri tanpa melalui proses yang betul, katanya lagi.

"Jika Anwar mempunyai sokongan majoriti, dia perlu diterima sebagai perdana menteri. Jika PN tidak mahu menerimanya, maka mereka perlu bukti di Parlimen bahawa dia tidak mendapat sokongan majoriti.

"Itulah asas yang sepatutnya kita lalui. Sebaliknya, Muhyiddin Yassin dan PN memilih untuk menjadi perdana menteri dan menubuh kerajaan dengan tipu helah," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Satu lagi kecelaruan, menurut Marzuki, adalah keputusan Anwar untuk tidak meminta undi belah bahagi untuk peringkat dasar Belanjawan 2021, walaupun setelah mendakwa Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.

Katanya, kecelaruan yang berlaku, termasuk dengan penyingkiran menteri besar daripada Bersatu oleh Umno, adalah disebabkan kuasa.

"Berlatarbelakangkan kesemua ini, kami merasa sudah sampai masa kita berusaha membawa rakyat keluar dari kecelaruan akibat daripada gabungan dan perikatan antara parti-parti yang wujud semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi berselindung di belakang slogan agama, bangsa dan tanah air.

"Kita perlu menubuhkan gabungan baru yang berpegang kepada perjuangan iaitu untuk menyekat kleptokrat dan sekutu-sekutu baru mereka yang bersedia melakukan rasuah untuk berkuasa," katanya lagi.

Katanya lagi, kini orang ramai dapat melihat betapa kes-kes rasuah digugurkan.

Pada 7 Dis, bekas Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuah bernilai RM1 juta.

Beberapa bulan sebelumnya, pada Jun, dakwaan rasuah bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman turut digugurkan dan dia kemudian memulakan langkah menyingkirkan pentadbiran Warisan di negeri itu.

Pada Mei, anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz turut dilepas tanpa dibebaskan dalam kes pengubahan wang haram melibatkan dana 1MBD berjumlah AS$248 juta.

Marzuki berkata, gabungan baru itu tidak terhad kepada parti politik sahaja, tetapi harus turut merangkumi ahli Parlimen dan Adun yang tidak boleh menerima amalan itu.

"Inilah usaha yang mahu kita perjuangkan dan kita yakin, setiap pemimpin politik yang berpegang kepada prinsip akan bersama menghalang kleptokrat-kleptokrat dari menerajui negara dan juga pemimpin politik yang mengamal rasuah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS