Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MIC anjur simposium isu kuil, turut undang pembangkang

MIC akan menganjurkan simposium untuk mencari penyelesaiaan terhadap isu perobohan kuil dalam masa terdekat, kata naib presidennya T Mohan.

Katanya, MIC akan mengundang semua pemimpin India termasuk daripada kalangan pembangkang dan aktivis NGO.

“Kebanyakan kuil ini dibina ketika zaman British atau sebelum merdeka. Tidak boleh roboh begitu sahaja.

"Tapi, masalah MIC sekarang adalah 'tangannya terikat' di bawah kerajaan PN berbanding ketika pemerintahan BN," katanya yang enggan menghuraikan lanjut perkara itu.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perobohan dua kuil Hindu di Kedah dalam masa enam bulan.

Ahli Dewan Negara itu juga berkata kenyataan Menteri Besar Sanusi Md Nor tidak boleh diterima.

"Tidak pernah ada MB seperti dia. Bertindak dan memberi kenyataan seperti budak kecil," katanya.

 Terdahulu, Sanusi menjelaskan bahawa sebuah kuil diroboh di Kuala Kedah kerana dibina di tempat yang tidak dibenarkan, ia melanggar undang-undang.

Dia turut memberitahu bahawa MIC patut diharamkan dan tidak dibenarkan bergerak bebas jika didapati "menghasut orang ramai melanggar undang-undang". 

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa tindakan perobohan kuil di Kedah meminggirkan masyarakat India dan percubaan menghapuskan budaya kaum tersebut.

"Tindakan ini bermula sudah lama. Beribu-ribu kuil dirobohkan di negara ini.

"Saya percaya ia satu tindakan menghapuskan budaya dan agama Hindu secara perlahan," katanya ketika dihubungi.

Dia turut menekankan terhadap keperluan penggubalan akta untuk mendapatkan satu penyelesaian muktamad dalam isu itu.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu berdebat dalam program "Perobohan kuil? Siapa Bertanggungjawab?" anjuran Astro Vaanavil pada 8 Disember.

Kedua-duanya bersetuju kerajaan perlu menubuhkan pusat memantau isu kuil melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

"Seperti Lembaga Wakaf Hindu Pulau Penang (badan yang mengurus 13 kuil di Pulau Pinang), kita perlu adakan satu badan pusat.

"RIBI (Rumah ibadat bukan Islam) ada di setiap negeri memantau isu kuil. Tapi, masih ada kecacatan," kata Ramasamy.

Lihat Komen
ADS