Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus usul potong RM45 juta peruntukan Jasa
Diterbitkan:  Dec 10, 2020 3:11 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

PARLIMEN | Dewan Rakyat meluluskan usul untuk memotong RM45 juta daripada peruntukan berjumlah RM85.5 juta buat Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) atau dahulunya dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) hari ini.

Usul itu diluluskan secara undian suara dan dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Abd Rahim Bakri untuk meminda jumlah peruntukan dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Undian suara dibuat selepas perbahasan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

"Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli parlimen, penolakan usul ini akan menyebabkan jumlah yang diluluskan kembali kepada jumlah yang asal iaitu RM85.5 juta.

“Oleh sebab itu sokongan ahli Yang Berhormat adalah sangat penting bagi membolehkan penubuhan J-Kom dengan perbelanjaan yang cost effective (berpatutan) dengan RM45.5 juta,” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Terdahulu, penubuhan semula jabatan itu, yang dikenali sebagai penyebar propaganda kerajaan BN, mengundang kritikan hebat pelbagai pihak, termasuk pembangkang yang antara lain berkata dana itu boleh digunakan untuk tujuan lebih penting di tengah-tengah penularan Covid-19.

Jabatan itu dimansuhkan ketika pentadbiran PH.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata nama jabatan itu akan ditukarkan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.

Dewan Rakyat turut membahaskan sebelum menolak usul daripada pembangkang untuk memotong keseluruhan peruntukan asal RM85.5 juta kepada J-Kom melalui undian suara.

Usul itu dikemukakan Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran), dan dibahaskan Wilfred bersama Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya), Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Antara lain, kata mereka, sudah ada agensi-agensi kerajaan yang boleh menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat seperti Jabatan Penerangan (JPEN), justeru tidak perlu jabatan khusus seperti J-Kom, sedangkan peruntukan itu boleh disalurkan untuk tujuan menangani Covid-19.

Ahli parlimen kerajaan pula berbahas bahawa J-Kom tidak harus disamakan dengan Jasa kerana ia tidak mempunyai agenda politik seperti didakwa, sebaliknya bagi menyampaikan maklumat yang benar dan sahih kepada rakyat berkenaan dasar kerajaan.

Ahli-ahli parlimen kerajaan yang berbahas ialah Hasan Arifin (BN-Rompin), Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun), Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), dan Shahidan Kassim (BN-Arau).

Penggulungan Saifuddin sempat menjadi panas apabila ahli parlimen Indera Mahkota itu berkata penubuhan J-Kom akan dapat membela nasib beratus kakitangan Jasa yang telah dibuang “dengan kejam dan zalim” semasa zaman PH dahulu.

“Jangan main tuduh! Kamu ada dalam kabinet! Malulah sikit! Tak malu khianat ke?!” RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit menempelak bekas menteri luar negeri pada zaman PH itu.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) mencelah bahawa beberapa agensi sudah pun mempunyai unit komunikasi mereka sendiri justeru akan menyebabkan pertindihan tugas dengan J-Kom, dan menyifatkan kandungan buruk takkan dapat dapat diselematkan dengan apa jenis penejamaan semula sekalipun.

“Yang bercakap ini bekas timbalan menteri, patutlah kerajaan (PH) tak lama,” tempelak Saifuddin kepada Yeoh, sekali lagi menyebabkan Rayer bangkit mencelahnya dan mengherdiknya kerana kenyataan yang dibuatnya itu.

“Saya berdoa tak ada pegawai J-Kom perangai macam Jelutong,” balas Saifuddin.

“Saya berdoa tak ada sebelah sini (PH) perangai macam yang berhormat, pengkhianat!” tepis Rayer.

Pun begitu, semasa penggulungan perbahasan untuk peruntukan kementeriannya yang berlangsung selepas itu, Saifuddin memohon maaf kepada Yeoh.

“Bukan bermaksud saya merendahkan beliau. Saya nak minta maaf dengan YB Segambut (Yeoh) sebab mungkin cara saya cakap tak begitu tepat, jadi saya minta maaf,” katanya.

Dia turut berkata menerima teguran Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Gobind Singh Deo (PH-Puchong), kedua-duanya bekas menteri di zaman PH, yang membidas kenyataannya meskipun sama-sama berada dalam kabinet PH dahulu.

“Bila kita sama-sama dalam kabinet dahulu, kita bertanggungjawab bersama. Nak lari larilah, nak pergi, pergilah, saya tak marah. Tapi jangan hina sahabat saya Segambut.

“Kalau lemah PH pasa masa kami, kamu hari ini jauh lebih lemah,” kata Salahuddin semasa perbahasan.

Lihat Komen
ADS