Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli MPT Bersatu: Tiada istilah puas hati dalam konflik MB Perak

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman menganggap tiada istilah ‘puas hati’ susulan kemelut antara parti-parti Perikatan Nasional (PN) di Perak yang bermula minggu lalu.

Malah, Muhammad Faiz berkata ketetapan yang diambil dengan melantik Saarani Mohamad sebagai menteri besar Perak yang baru hanyalah suatu bentuk kompromi sahaja.

"Tiada istilah puas hati dalam konflik yang dicipta oleh pihak yang kita anggap sebagai rakan dalam kerajaan sendiri.

"Apa yang diputuskan sebagai penyelesaian di Perak itu merupakan suatu bentuk kompromi supaya keadaan tidak menjadi lebih rumit lagi terutama untuk peringkat rakyat dan negeri Perak," katanya kepada Malaysiakini.

Muhammad Faiz berkata demikian mengulas pelantikan Saarani sebagai menteri besar Perak yang baru.

Pada 4 Disember lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tumbang apabila dia gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali. Dengan itu Ahmad Faizal terpaksa berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Selepas hampir seminggu rundingan, PN akhirnya berjaya mengekalkan penguasaan di Perak selepas kesepakatan antara tiga pemimpin paling kanan dalam gabungan itu - Bersatu, Umno dan PAS yang sekali gus mengangkat Saarani sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan tindakan Adun-Adun Umno di Perak yang bersengkongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ahmad Faizal Azumu sebagai satu pengkhianatan.

Sementara itu, mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini, Muhammad Faiz bersependapat dengan baginda bahawa apa yang berlaku di negeri itu bukan sesuatu yang membanggakan.

"Saya setuju dengan teguran baginda Sultan Perak bahawa ia bukan sesuatu yang membanggakan apabila negeri itu sering bertukar MB di ‘tengah jalan’.

"Bersatu dan PAS sejak dari awal pembentukan PN bukan saja komited ke arah perpaduan rakyat malah mendukung disiplin serta etika untuk menjayakan kerajaan bersama melalui konsep musyawarah, kongsi kuasa, toleransi dan hormat-menghormati.

"Kami dalam PN tidak pernah menyerang atau ‘friendly fire’ sesama sendiri sama ada dalam parlimen, DUN atau melalui media terbuka. Ini agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin atau wakil rakyat dari Umno," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz berkata dia menghargai peranan yang dimainkan kepimpinan tertinggi Umno.

"Sungguhpun begitu kami menghargai kewujudan watak-watak matang dalam Umno yang banyak berperanan sebagai pendamai seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Kita perlukan lebih ramai lagi watak pemimpin pendamai seperti mereka dalam negara ini supaya bangsa kita akhirnya boleh bersatu padu walaupun berlainan wadah politik,"katanya.

Lihat Komen
ADS