Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rantaian bekalan pekerja mungkin punca kluster perebak utama'

Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berpandangan penularan kluster Seruling di beberapa daerah dan negeri mungkin disebabkan pergerakan pekerja asing pelbagai syarikat di Malaysia.

"Barangkali sebab paling munasabah adalah ia kerana rantaian bekalan pekerja asing yang dikendalikan vendor.

"Penularan ini cerminan kepada pergerakan pekerja-pekerja asing ini berdasarkan keperluan kilang atau tapak pembinaan dan juga menunjukkan tempat tinggal bersama atau yang mereka selalu pergi untuk berjumpa rakan.

"Penularan virus menyusuli pergerakan mereka di saat mereka dibawa berdasarkan keperluan majikan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya lagi, sukar untuk menentukan jika kes indeks bagi kluster Seruling adalah di kalangan pekerja asing.

"Mungkin yang sebaliknya berlaku, iaitu penularan berlaku di hostel pekerja asing ini oleh orang tempatan yang mungkin menjadi penyelia mereka," katanya lagi.

Katanya lagi, tempat tertutup seperti tempat tinggal pekerja adalah 'pengeram' untuk kluster pereba utama (super spreader) seperti kluster Seruling.

"Hanya perlukan satu jangkitan di kawasan yang sesak seperti itu untuk mencetuskan penularan yang besar," katanya yang juga mengetuai Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Bagaimanapun, dia menjelaskan STFC tiada akses terhadap data granular atau statistik berkaitan kluster Seruling untuk meneliti secara mendalam bagaimana penularan berlaku..

Dua penyelesaian

Dzulkefly berkata ada dua cara untuk mengurangkan risiko penularan di tempat tinggal pekerja yang sesak.

Katanya, pertama adalah menguruskan keadaan tempat tinggal dan kedua melalui program Poise oleh STFC, iaitu ‘Preventing Outbreaks on Ignition Sites’.

"Dalam hal ini pendekatan STFC agak unik. Kita jadikan masalah sebagai peluang.

"Ketika di awal penularan, ada kebimbangan penularan boleh berlaku di restoran dan kedai bukan? Apa yang STFC lakukan adalah wujudkan Selangkah dan jadikan kebimbangan itu sebagai peluang untuk memantau penularan jangkitan.

"Kini kita lakukan perkara sama, jadikan kebimbangan di tempat tinggal pekerja sebagai peluang untuk memantau penularan dalam komuniti yang lebih besar," katanya.

Kluster Seruling merekodkan 843 kes positif semalam. Kebanyakan kes dilaporkan di Kapar dan Klang tetapi telah merebak di lima daerah lain.

Ia dipercayai berkaitan dengan sekurang-kurangnya satu kilang di kawasan Jalan Seruling di Taman Klang Jaya, berdekatan Taman Bukit Tinggi.

Lihat Komen
ADS