Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 anggota polis didakwa cabul, ugut dan paksa seks oral

Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di Kelantan hari ini, berhubung lapan pertuduhan berkait mencabul, peras ugut dan paksaan seks oral terhadap pasangan kekasih di Pengkalan Chepa pada 4 Disember lalu.

Tertuduh Mohd Hanafi Mohd Zaki, 35, dan Mohammad Izauddin Abd Wahab, 30 didakwa secara bersama bagi tiga pertuduhan dan masing-masing dua dan tiga tuduhan secara berasingan.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dalam pertuduhan bersama pertama, Mohd Hanafi dan Mohammad Izauddin didakwa mengarahkan mangsa lelaki berusia 20 tahun melakukan kelucahan melampau iaitu supaya menghisap payudara seorang mangsa wanita berusia 20 tahun di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada 4 Disember lalu, antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam.

Pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa mengarahkan mangsa wanita berkenaan menghisap kemaluan mangsa lelaki serta melakukan pemerasan dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat agama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nor Azlinawati Mohd Arshad, manakala kedua-dua tertuduh diwakil peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Mohamad.

Sementara itu dalam dua tuduhan berasingan, Mohd Hanafi didakwa mencabul mangsa wanita antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di Jalan Padang Tembak Kota Bharu.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengarahkan mangsa lelaki menanggalkan pakaian sehingga bogel dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa.

Tertuduh kedua, Mohammad Izauddin pula didakwa mencederakan mangsa lelaki dengan menumbuk belakang telinga kiri sehingga lebam, mengarahkan mangsa wanita menanggalkan pakaian hingga bogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan serta melakukan persetubuhan luar tabie dengan mangsa wanita.

Kejadian itu dilakukan antara jam 10.45 malam hingga 12 tengah malam di Jambatan Pak Nik Lah dan tempat letak kereta di sebuah masjid Padang Tembak.

Mahkamah kemudianya menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada Mohd Hanafi dan RM30, 000 kepada Mohammad Izauddin dengan empat penjamin setiap seorang.

Mahkamah juga menetapkan tarikh pada 17 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Lihat Komen
ADS