Malaysiakini
BERITA

'Saya buat perkara betul' - bekas pekerja Top Glove

Annabelle Lee

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Dis 2020, 3:25 petang

Yubaraj Khadka, 27 menganggap pemberhentiannya dari kilang Top Glove dibuat secara salah selepas berkongsi gambar menunjukkan ketiadaan pelaksanaan penjarakan fizikal di kalangan pekerja di kilang tersebut.

Di sebalik semua itu, lelaki berasal dari Nepal itu percaya dia melakukan perkara yang betul apabila memberikan maklumat mengenai bekas tempat kerjanya, justeru 'tidak gentar' menceritakan hal sebenar.

Bercakap kepada Malaysiakini, Yubaraj berkata dia bekerja di Top Glove selama lapan tahun, namun terkejut apabila dipecat secara tiba-tiba.

Yubaraj menceritakan dia diberikan “kaunseling” selama 11 jam setelah dikenal pasti sebagai individu yang mendedahkan gambar berkenaan.

“Mereka juga mengambil telefon saya dari pukul 10 pagi hingga kira-kira jam 9 malam. Mereka meneliti setiap mesej saya,” ceritanya.

Pada 13 Dis, Reuters melaporkan Yubaraj diberhentikan kerja sebagai pembantu kualiti pada 23 Sept lalu setelah syarikat itu mengecamnya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pada Okt lalu, dia pulang ke kampung halamannya dan melakukan ujian Covid-19 sebelum berlepas.

Yubaraj memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pernah menjangka akan dipecat kerana bercakap benar, dua bulan kemudian.

Menurut Yubaraj, dia mengambil gambar-gambar berkenaan untuk menunjukkan kepada petugas hak asasi, Andy Hall bagaimana keadaan dan suasana kerja di Top Glove.

Katanya, bukan hanya kawasan tempat tinggal pekerja sesak dengan sistem pengudaraan yang kurang baik, malah penjarakan fizikal tidak dilaksanakan di kilang itu walaupun ia merupakan syarat wajib berikutan wabak Covid-19.

"Saya tidak tahu mereka akan pecat saya kerana melakukan ini," katanya.

Hanya kemudian dia diberitahu bahawa pekerja Top Glove tidak dibenarkan mengambil atau berkongsi gambar tempat kerja mereka.

Menurut surat pemberhentian yang dilihat oleh Malaysiakini , Top Glove mengklasifikasikan tindakan Yubaraj mengambil gambar berkenaan "tanpa mendapat persetujuan terlebih dahulu dari pihak pengurusan" sebagai tindakan salah laku yang membenarkan pemecatannya.

Bulan ini, pengeluar sarung tangan getah itu mengakui gagal menguatkuasakan peraturan penjarakan fizikal satu meter sebelum ini di kalangan pekerja kilangnya, tetapi mengakui telah melaksanakan perkara berkenaan.

Selepas Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuka 19 kertas siasatan ke atas Top Glove kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum, Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, syarikat yang disenaraikan bernilai berbilion dolar itu kini berjanji memperuntukkan RM170 juta untuk membina asrama baru bagi seramai 21,000 pekerjanya.

"Saya melakukan perkara yang betul.

"Mereka yang melakukan perkara yang salah ," kata Yubaraj.

Sekarang bagaimana?

Ketika Yubaraj meninggalkan Malaysia, kes Covid-19 mula melonjak di kilang-kilang Top Glove di Meru, Klang. 

Ribuan pekerjanya dijangkiti Covid-19 dan mencetuskan kluster Teratai - yang merekodkan 5,450 kes terkumpul dan merupakan kluster aktif terbesar di Malaysia.

Yamnarayan Chaudhary Tharu yang berusia 29 tahun, juga warga Nepal, menjadi pekerja Top Glove pertama meninggal dunia akibat jangkitan tersebut.

Sekarang di kampung halamannya di Dhankuta, yang terletak sekitar 430km dari Kathmandu, Yubaraj masih mencari pekerjaan, namun mengatakan dia gembira berada bersama keluarga dan rakan-rakan.

Malaysiakini difahamkan terdapat tuntutan pampasan dan kedua-dua mencapai penyelesaian. Syarat penyelesaian itu tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.

Namun, yang paling menggembirakan Yubaraj adalah gambar-gambar yang dirakam melalui telefon pintarnya membantu menjelaskan apa yang berlaku di dalam Top Glove.

Dia berharap episod itu akan membuka jalan bagi keadaan kerja yang lebih baik untuk bekas rakan-rakan sekerjanya dan mendorong mereka bersikap menentang ketidakadilan.

"Adalah bagus semua orang tahu tentang ini sekarang.

"Sekiranya saya tidak mengadu kepada Andy dan jika tidak ada gambar, orang tidak akan tahu mengenai perkara ini.

"Sekarang sekurang-kurangnya orang mengikuti peraturan jarak fizikal satu meter," katanya.

Top Glove masih belum menjawab permintaan Malaysiakini untuk memberi komen mengenai artikel Reuters.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.