Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbicaraan kes rogol Paul Yong dipindah ke Mahkamah Tinggi

Perbicaraan kes rogol terhadap bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong melibatkan seorang warga Indonesia telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan oleh Adun Tronoh itu agar kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Panel hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Mary Lim Thiam Suan.

Terdahulu, perbicaraan terhadap Adun Yong di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Disebabkan penangguhan itu, mangsa yang merupakan saksi utama dilaporkan menunggu selama setahun dalam kes yang diikuti rapat di Malaysia dan Indonesia ini.

Pada 23 Ogos tahun lepas, di Mahkamah Sesyen, Yong yang merupakan bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman miliknya di Meru Desa Park, Ipoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya K Mangai memberitahu mahkamah bahawa pihaknya menerima arahan untuk tidak mengemukakan bantahan terhadap rayuan Yong.

Mangai berkata demikian ketika ditanya berhubung perkara itu oleh Tengku Maimun.

Panel hakim kemudian mengeluarkan keputusan ringkas itu secara sebulat suara. Bagaimanapun, tiada hujah diberikan semasa keputusan disampaikan.

“Ini merupakan keputusan sebulat suara. Rayuan dibenarkan. Keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan.

“Kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Semua tarikh di Mahkamah Sesyen hendaklah dilapangkan,” kata Tengku Maimun.

Dia turut menetapkan 21 Disember sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Ketika ditemui selepas perbicaraan, peguam Yong, Rajpal Singh menjelaskan bahawa Mahkamah Persekutuan memutuskan keputusan sebulat suara memandangkan tiada bantahan dibangkitkan oleh pendakwaan.

Katanya, pihak pembelaan berpendapat bahawa rayuan itu harus dibenarkan memandangkan pihaknya dan pendakwaan pada awalnya telah pun setuju di peringkat Mahakamah Tinggi untuk kes dipindahkan.

Bagaimanapun, jelasnya, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan yang dibuat dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Yong dengan keputusan 2-1.

Dia merujuk keputusan hakim Mahkamah Rayuan yang menyokong permohonannya, yang berkata Mahkamah Tinggi sepatutnya membenarkan pemindahan kes apabila pendakwaan bersetuju dengannya, ekoran sistem adversarial yang diamalkan dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia. 

ADS