Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tetap sokong Anwar, Hassan mahu pembangkang sepakat calon PM

Ketika pilihan raya umum (PRU) akan datang semakin menghampiri, seorang ahli parlimen PKR berkata, pemimpin pembangkang perlu mencari kesepakatan mengenai calon perdana menteri untuk ditawarkan kepada rakyat.

Kenyataan Hassan Abdul Karim itu dibuat selepas pembangkang sekali lagi gagal menyekat Perikatan Nasional daripada terus menjadi kerajaan dengan lulusnya - walaupun sangat tipis - Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.

Kata ahli parlimen Pasir Gudang itu pemimpin pembangkang perlu mengadakan perincangan untuk menentukan siapa yang wajar dipilih.

"Tidak boleh tunggu lama-lama... kena selesaikan segera," katanya kepada Malaysiakini.

Pun begitu bagi Hassan calon yang terbaik untuk ditawarkan sebagai calon perdana menteri dari blok pembangkang ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Anwar selaku ketua pembangkang wajar diangkat sebagai calon perdana menteri gahungan besar PH Plus dan parti-parti pembangkang lain," katanya.

Semalam belanjawan yang dibaca untuk kali ketiga cuba digagalkan melalui undian belah bahagi diminta pembangkang.

Selepas undian dikira sebanyak 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 menolak. Kelmarin bekas perdana menteri bersama Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan PN akan tumbang melalui undian tersebut.

Tengku Razaleigh sendiri tidak hadir di Dewan Rakyat semasa undian dilangsungkan.

Untuk membolehkan Belanjawan 2021 ditolak melalui undian semalam, pembangkang yang bersatu sepenuhnya masih perlu mengharapkan sokongan segelintir ahli parlimen kerajaan.

Ketika ada beberapa ahli parlimen Umno sebelum ini membayangkan rasa kurang senang mereka kepada belanjawan dibentangkan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 6 Nov lalu itu, keputusan semalam menunjukkan semua ahli parlimen kerajaan yang ada sepakat untuk menerimanya.

Minggu lalu Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal secara terbuka menyarankan pembangkang memilih kepemimpinan baru menghadapi PN pada PRU ke-15.

Menurut Hassan pemilihan pemimpin pembangkang itu adalah proses demokrasi dan dia sekadar mengangkat pandangan dan pendiriannya sendiri apabila menamakan Anwar.

"Pemimpin-pemimpin utama parti politik dalam PH (Pakatan Harapan) dan blok pembangkang perlu menyelesaikan hal calon ketua gabungan besar pembangkang serta bakal calon perdana menteri segera," katanya.

Hassan menambah kerjasama PH dengan parti pembangkang lain juga perlu dimantapkan serta wadah bersama perlu dirangka.

"Bina naratif yang jelas mengapa dalam PRU ke-15 nanti rakyat Malaysia patut sokong PH dan gabungan baru yang berteraskan PH dengan Anwar sebagai calon PM," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS