Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer minta kerajaan utamakan kes kematian Adib
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 3:11 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

PARLIMEN | Desakan demi desakan terus dibuat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim diberi keutamaan.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata siasatan mengenai perkara itu perlu didahulukan kerana rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada kerajaan kes itu diselesaian secepat mungkin sekali gus pesalah diheret ke muka pengadilan.

"Perkara yang selalu saya bangkitkan: kes Muhammad Adib belum selesai. Semua perkara perkara ini belum diselesaikan. Kenapa buat pindaan-pindaan ini?

"Saya minta supaya kita tumpukan perhatian untuk menyelesaikan perkara-perkara yang masih belum selesai daripada membuat pindaan-pindaan ini," katanya ketika bangkit mencelah bacaan kali ketiga perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kastam 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, desakan Rayer itu ditempelak anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim.

Shahidan berkata, PN sudah memulakan siasatan berhubung kes terbabit.

"Pindaan ini perlu, walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa pindaan ini tak perlu kerana harus beri perhatian kepada Jho Low, kepada Adib dan sebagainya.

"Adib ini adalah perjuangan kami, kawan-kawan PN, sebab ia dimulakan zaman PH.

"Apa pun tak buat, sekarang ini saya bersyukur sebab menteri dalam negeri bertindak dan cuba menyelesaikan penyiasatan kes Adib.

"Ini adalah perjuangan PN. Puak-puak sana (pembangkang) hanya bercakap konon nak jadi hero... tak payah jadi hero bila kami dah buat kerja," katanya.

Tak mahu ulas lanjut

Muhammad Adib, 24, merupakan seorang anggota bomba yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jayay itu menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Dis.

Kejadian berlaku ketika negara ini ditadbir oleh Pakatan Harapan dan pembangkang ketika itu memainkan sentimen agama dan kaum untuk mengkritik kerajaan.

Bagaimanapun isu tersebut menjadi reda dan kurang diperkatakan sejak PH tumbang dan digantikan Perikatan Nasional.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin pada 14 Dis memberitahu Dewan Rakyat hasil siasatan terhadap penyebab kematian Muhammad Adib akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Hamzah berkata, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam jawapan lisan Hamzah kepada Abdul Azeez (BN-Baling) pada 15 Dis pula dia memberitahu kertas siasatan dan cadangan inkues semula masih berada di AGC.

"Saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut isu inkues semula ini agar tidak mengganggu siasatan ataupun mendahului keputusan AGC," katanya.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia mencadangkan inkues diadakan semula berhubung berikutan terdapat saksi baru memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu.

Lihat Komen
ADS