Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor tak iktiraf ahli PeKT
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Kerajaan Selangor tidak akan mengiktiraf mana-mana wakil dari inisiatif Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk berkhidmat di negeri itu.

Exco negeri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pihak berkuasa tempatan, Ng Sze Han, mengatakan peranan anggota PeKT dilihat menyamai dengan fungsi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedia ada.

"Kerajaan negeri Selangor berpandangan bahawa tiada keperluan melantik PeKT untuk bertindak sebagai perantara antara komuniti dan Kerajaan memandangkan tugas ini telah dipertanggungjawabkan kepada setiap Ahli Majlis.

"Di samping itu, Kerajaan negeri Selangor turut difahamkan bahawa telah wujud penggunaan nama PBT Negeri Selangor di dalam kepala surat rasmi PeKT.

"Sekiranya perkara ini benar, is merupakan suatu tindakan yang tidak wajar memandangkan PeKT tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PBT Negeri Selangor.

"Oleh yang demikian, ingin dijelaskan bahawa sebarang pelantikan PeKT di Negeri Selangor adalah tidak diiktiraf bagi memastikan tiada percanggahan dengan peranan Ahli Majlis PBT Negeri Selangor yang telah diperuntukkan di bawah Akta 171.

"Sebarang penggunaan nama PBT Negeri Selangor oleh PeKT dalam apa jua bentuk juga adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," kata Ng dalam kenyataan media hari ini.

Bulan lalu, ketua Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari mengatakan PeKT akan mewakili kerajaan Perikatan Nasional di negeri yang diperintah pembangkang dan anggotanya akan dibayar elaun sebanyak RM2,000 sebulan untuk perkhidmatan mereka.

Adun Selat Kelang itu juga dilaporkan mengatakan PeKT Selangor akan melantik 288 anggota yang akan diambil dari parti PN.

Di Parlimen, ahli parlimen pembangkang berpendapat bahawa PeKT tidak perlu dan menyifatkan ia disusun untuk meneruskan agenda PN di negeri-negeri yang dipimpin oleh pembangkang.

Mereka bagaimanapun gagal meluluskan empat usul untuk memotong peruntukan RM8.62 juta PeKT dari belanjawan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tahun depan.

Lihat Komen
ADS