Umno Bahagian Seremban memberi amaran akan mengundang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi ceramah jika pemimpin tertinggi Umno masih terus menghentam dan menyekat beliau daripada bertemu rakyat.

Ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Ishak Ismail berkata, pada masa ini banyak pihak yang cuba memalukan Dr Mahathri dan tidak memberi layanan adil kepada beliau.

Katanya, mengapa mereka bising apabila bekas Presiden Umno bercakap, "sedangkan apa yang diperkatakan itu ada kebenarannya".

Sehingga hari ini, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri belum menjawab sebarang soalan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir.

"Saya telah menyuarakan perkara ini ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Seremban Ahad lalu dan para perwakilan setuju dengan perkara itu (Tun Dr Mahahthir berucap di Seremban).

"Kami bukan menentang kepimpinan yang ada sekarang tetapi sebagai bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir perlu dilayan dengan adil dan bukannya mengecam dan menutup mulut beliau seperti sekarang," katanya.

Mesyuarat perwakilan bahagian berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Rais Yatim yang juga Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh 312 perwakilan, dari 68 cawangan, termasuk dari Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Putus lepas Ramadhan

Bagaimanapun, Ishak menegaskan bahawa kata putus mengenai perkara tersebut akan dibuat selepas bulan Ramadhan kerana pihaknya masih mahu melihat perkembangan semasa terlebih dahulu.

Beliau berkata, perwakilan Umno Bahagian Seremban setuju bahawa apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir mengenai Jambatan Bengkok, Proton, permit import yang dibenarkan (AP) dan penjualan MV Augusta adalah benar belaka.

"Jawaban yang diberikan oleh menteri-menteri kabinet pula lebih merupakan kepada untuk membodek Datuk Seri Abdullah dan bukannya untuk menjawab pertanyaan bekas Perdana Menteri," katanya lagi.

Ditanya mengenai perbezaan gaya kepimpinan antara Abdullah dan Dr Mahathir, Ishak berkata: "Dr Mahathir seorang pemimpin yang tegas dan berprinsip manakala Abdullah baik untuk dibuat kawan."

Ishak berkata, di zaman Dr Mahathir dahulu, ahli Umno termasuk mereka yang pernah menentang parti, bebas bersuara dan mengkritik pemimpin negara.

"Apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya di mana bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno dilarang bertemu ahli Umno," katanya.