Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penamatan Melaka Gateway: Pemaju saman k’jaan Melaka
Diterbitkan:  Dec 18, 2020 1:19 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Pemaju projek Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) telah mengemukakan semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan negeri Melaka untuk menghentikan konsesi penambakan tanah syarikat itu untuk projek Melaka Gateway.

Melaka Gateway adalah projek mega pinggir laut yang masih belum selesai membabitkan tiga pulau yang terletak di bahagian bandar lama Melaka, dilancarkan oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada 2014.

Dalam satu kenyataan, KAJD berkata pihaknya menuntut keadilan kerana kerajaan negeri telah meminta supaya salah satu daripada tiga pulau yang telah ditebusguna itu dikembalikan, walaupun syarikat telah diberikan hak geran tanah dan membuat pembayaran penuh premium tanah serta cukai taksiran.

"Lagipun, geran hak milik tanah untuk Pulau 3 telah diluluskan dan pembayaran sewajarnya telah dilakukan. Secara keseluruhan, KAJD telah membayar lebih dari RM10 juta kepada kerajaan negeri untuk geran hak milik dua pulau, sementara permohonan sewajarnya sedang dilakukan dalam mendapatkan geran milik tanah pulau kedua, "kata syarikat itu.

Menurut Bernama, kerajaan negeri Melaka telah menghentikan perjanjian penambakan laut pada 17 November lalu kerana syarikat itu gagal menyiapkannya dalam masa tiga tahun setelah dipersetujui ketika konsesi dikeluarkan pada 4 Oktober 2017.

Syarikat itu berkata, pihaknya akan berhujah di mahkamah apabila prosiding berlangsung pada 22 November bahawa keputusan berkenaan melanggar Akta Covid-19 (Langkah-langkah Sementara) 2020 (Akta 829), yang melarang penamatan berkaitan dengan pembinaan sehingga selepas 31 Disember 2020.

Syarikat itu berkata kerja-kerja telah ditangguhkan sejak 18 Mac.

"Kami telah mengemukakan beberapa permohonan bertulis kepada kerajaan negeri Melaka untuk melanjutkan konsesi penambakan laut tetapi tidak dilayan atau ditolak. Kemudian, notis penamatan diberikan pada 16 November dengan alasan bahawa KAJD tidak menyiapkan projek seperti yang dijadualkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif KAJD, Michelle Ong.

Ong berkata peralatan yang diperlukan bagi tujuan itu dan pakar asing tidak dapat kembali ke Malaysia untuk melaksanakan projek berkenaan, oleh itu kerja-kerja penambakan hanya dapat diteruskan apabila segala sekatan Covid-19 ditarik sepenuhnya.

Ong menegaskan bahawa projek Melaka Gateway dimiliki sepenuhnya oleh KAJD dan bukan oleh kerajaan negeri Melaka. Ia membabitkan pelabur termasuk warga asing dan tempatan berjumlah AS5 bilion (RM20 bilion).

Salah satu pelabur utama di KAJD adalah Power Construction Corporation of China (PowerChina), sebuah syarikat yang dimiliki oleh majlis negara China.

ADS