Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akar umbi Amanah sokong cadangan gabungan besar
Diterbitkan:  Dec 18, 2020 5:58 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Sekumpulan pemimpin Amanah terdiri daripada pimpinan pusat dan sayap pemuda menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan pembentukan gabungan besar atau grand coalition seperti dicadangkan oleh beberapa pemimpin pembangkang.

Kenyataan media yang ditandatangani 108 pemimpin itu berpandangan bahawa kesatuan dalam kalangan semua parti komponen pembangkang amat mustahak bagi menghadapi cabaran politik yang mendatang serta persediaan bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

"Pakatan Harapan perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang yang lain bagi membina semula imej dan kekuatan menjelang tahun hadapan.

"Idea politik baru gabungan besar atau disebut sebagai grand coalition bukanlah satu perancangan untuk membelakangi mana-mana parti komponen PH, akan tetapi kita memerlukan ikhtiar baru dalam mobilisasi gabungan parti pembangkang dalam satu visi dan misi yang sama iaitu dengan menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti serta urustadbir yang baik," kata mereka.

Tambah mereka, sudah sampai masa untuk pimpinan Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain memberi fokus kepada penyatuan dan kesepaduan dan mengenepikan perbezaan serta bebanan lampau.

Kenyataan itu, ditandatangani oleh 104 pemimpin sayap pemuda dari peringkat negeri dan bahagian dan empat daripada majlis pimpinan pusat.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang dari parti Amanah dan DAP mencadangkan pembaharuan semula kerjasama politik di kalangan pembangkang selepas gabungan PH gagal menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada 23 September lalu pernah mendakwa bahawa dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan pusat yang baru.

Namun, semasa pengundian Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa selama enam minggu kebelakangan terakhir, pembangkang hanya mampu meraih 108 suara maksimum.

Susulan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bersama yang menyatakan bahawa agar PH tidak perlu membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.

Mohamad dan Lim juga berkata masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk menggerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, antirasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

Kenyataan mereka bagaimanapun tidak menyenangkan rakan sekutunya PKR.

Lihat Komen
ADS