Pihak polis sudah mengenal pasti dan masih mencari tiga lelaki yang terbabit dalam kes kecurian wang milik beberapa pendeposit Lembaga Tabung Haji yang berjumlah RM 8.95 juta antara April hingga Julai lalu.
"Setakat ini polis berjaya merampas wang yang dicuri, kereta-kereta yang dibeli daripada wang dicuri dan mengenal pasti wajah mereka yang terkini," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Som, hari ini.
Mereka dikenal pasti sebagai Mohamad Nor Idris, 48 dari Kuala Selangor, Selangor; Sayid Abdullah Sayid Mohamad, 50 dari Batu Caves; Selangor dan Ahmad Khaironi Ahmad, 43 dari Jalan Bukit Serindit, Melaka.
Polis hari ini turut menyiarkan gambar terbaru mereka yang disyaki itu.
Menurut Salleh, pada 14 November lalu seorang wanita berusia 29 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan. Bagaimanapun beliau dibebaskan dua hari kemudian.
Menurutnya, polis berjaya merampas dari perempuan itu wang tunai berjumlah RM108, 000; sebuah kereta Kancil, barang kemas bernilai RM8,000, buku akaun bank mengandungi RM55,000. Turut dirampas ialah dua kad pengenalan dan satu passport Indonesia.
Beliau menambah, mengikut laporan yang diterima, Ahmad Khaironi dan isterinya dipercayai kini tinggal di sebuah hotel.
Kerjasama diperlukan
Oleh itu, menurut Salleh, pihak polis amat berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama jika mempunyai sebarang maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki berkenaan.
Tiga lelaki itu disyaki terbabit dengan kecurian wang di beberapa akaun pendeposit institusi itu yang berjumlah RM8.95 juta antara April hingga Julai lalu.
Akhir Ogos lalu, polis menyoal siasat beberapa "orang dalam" di Tabung Haji kerana disyaki membantu satu sindiket mengeluarkan wang itu daripada kaunter urusniaga ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Pengeluaran itu, yang membabitkan tiga akaun pendeposit, dipercayai dilakukan dengan menggunakan kad pengenalan palsu menerusi 18 urus niaga.
