Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Kementerian Pelancongan jangan 'hidup dalam penafian'
Diterbitkan:  Dec 19, 2020 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mempunyai rancangan yang kukuh untuk menyelamatkan industri pelancongan dan bukan mengambil pendekatan "hidup dalam penafian"," kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata sektor pelancongan berada dalam keadaan tertekan akibat pandemik Covid-19.

"Industri pelancongan adalah mangsa terbesar krisis tiga berganda ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan pandemik kesihatan awam Covid-19 di Malaysia.

"Kegagalan menangani krisis tiga berganda telah menyebabkan Malaysia menerima malu kerana menjadi negara Asean pertama yang diturunkan penarafan kredit negara oleh agensi penilaian Fitch, yang juga pertama kali sejak krisis kewangan Asia 1997/98.

"Namun, Kementerian Pelancongan terus mengambil pendekatan "hidup dalam penafian" dengan meramalkan bahawa purata penghunian hotel untuk tahun 2020 akan mencecah 61.1 peratus dan 58.4 peratus pada tahun 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 4 Dis lalu, Fitch Ratings menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada 'BBB+' dari 'A-'.

Lim memetik kenyataan menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri baru-baru ini yang mengatakan sektor pelancongan menghadapi kerugian RM100 bilion akibat wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Bagan itu mempersoal bagaimana kementerian pelancongan boleh mengekalkan unjuran 61.1 peratus penginapan hotel bagi tahun 2020 apabila industri pelancongan menghadapi kerugian RM100 bilion.

"Unjuran palsu dan tidak realistik seperti ini akan merosakkan keyakinan masyarakat bahawa kerajaan tidak tahu bagaimana menjalankan tugasnya untuk menyelamatkan industri pelancongan kita.

"Ini menimbulkan beberapa persoalan sama ada masih akan ada sektor pelancongan yang signifikan setelah wabak Covid-19 berakhir," katanya.

Dia turut menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggandakan usaha bagi pemandu pelancong, agensi pelancongan dalam dan luar, pengusaha bas ekspres dan pengusaha hotel.

Sehubungan itu Guan Eng mencadangkan subsidi gaji yang lebih tinggi ditawarkan berdasarkan peratusan dan bukannya pemberian RM600 sebulan.

"Selanjutnya, perlu ada lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik, tidak termasuk golongan T20, insentif upah pengambilan pekerja sebanyak RM500 dan RM300 setiap bulan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan bantuan kewangan tambahan RM10 bilion kepada PKS terutama dalam industri pelancongan.

"Tanpa langkah-langkah kewangan penting yang dinyatakan di atas daripada Kerajaan Persekutuan PN, bagaimana sektor pelancongan dapat bertahan daripada kerugian RM100 bilion pada tahun 2020 tanpa rancangan survival pelancongan yang kukuh untuk mengimbangi kerugian besar tersebut?" soalnya.

"Pemberian kewangan dan kredit pinjaman sekarang tidak mencukupi, dan keluhan yang sering kedengaran adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada pihak bank," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS