Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lesen bank digital: Angkasa kenal pasti rakan strategik firma konglomerat
Diterbitkan:  Dec 20, 2020 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengenal pasti lebih 10 syarikat konglomerat dan koperasi utama di negara ini untuk dijadikan rakan strategik bagi memohon lesen bank digital.

Presiden, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata antara yang dikenal pasti itu adalah syarikat telekomunikasi dan kewangan, sekali gus boleh menjadi satu kelebihan dalam permohonan lesen berkenaan.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia, yang akan mengeluarkan lesen itu pada hujung tahun ini, hanya menyediakan lima lesen sahaja.

"Setiap syarikat konglomerat dan koperasi besar yang telah dikenal pasti itu mempunyai kekuatan masing-masing dalam membantu Angkasa memohon lesen berkenaan.

"Syarikat besar mempunyai modal yang besar dan kita memerlukan modal tertentu sebagai antara syarat permohonan lesen. Selain itu, kita memerlukan rakan strategik dalam kalangan koperasi kerana jumlah keahliannya yang ramai," katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Koperasi Ihsan Rakan Niaga Fazil Group Berhad (Kopirnafg) di sini.

Abdul Fattah berkata pemerolehan lesen bank digital itu akan memperkukuh kedudukan Angkasa daripada pelbagai aspek antaranya kewangan dan peranan sebagai penggerak koperasi di negara ini pada masa hadapan.

Bagi perkembangan lain, beliau berkata koperasi yang belum mengadakan mesyuarat agung bagi 2020 akan dikecualikan berbuat demikian untuk mengurangkan beban yang ditanggung koperasi ekoran penularan Covid-19 kerana kos penganjuran mesyuarat agung adalah besar.

Contohnya Angkasa membelanjakan kira-kira RM8 juta bagi menganjurkan mesyuarat agung tahunan yang meliputi perbelanjaan elaun kedatangan ahli, makanan dan minuman serta penginapan, katanya.

"Ia juga mengambil kira kekangan yang dihadapi dari sudut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan serta masalah kuorum. Kalau tidak cukup kuorum, mesyuarat tidak boleh dilakukan.

"Keputusan ini telah dipersetujui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas ia diwartakan," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun koperasi perlu melakukan audit bagi tahun ini dan boleh merujuk kepada Angkasa dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Selain itu, Abdul Fattah berkata Angkasa akan mencadangkan lebih banyak syarikat yang kukuh dan besar supaya menubuhkan koperasi untuk memberi peluang kepada warga kerjanya melabur dalam ekuiti syarikat.

"Di Malaysia, konsep ini belum lagi meluas dan jumlahnya adalah kecil, tetapi di luar negara banyak syarikat besar telah menubuhkan koperasi untuk kakitangannya seperti Mondragon Corporation," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi kelebihan pada kakitangan malah kepada syarikat kerana kakitangan akan bekerja dengan lebih gigih untuk memajukan perniagaan yang diusahakan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS