Malaysiakini
BERITA

Hakim kecewa terpaksa tangguh bicara kes rasuah Bung Moktar

Diterbitkan

Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A Samad kecewa kerana terpaksa melapangkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bersambung minggu ini, berikutan Ahli Parlimen Kinabatangan itu perlu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Hakim Rozina Ayob turut menegur tindakan peguam Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, lewat menghantar surat kepada mahkamah iaitu pada 17 Dis lepas, bagi memohon perbicaraan yang ditetapkan pada hari ini sehingga 24 Dis dilapangkan.

"Saya amat kecewa, saya pasti kamu sudah mengetahui jadual persidangan DUN Sabah lebih awal, saya rasa 14 hari sebelum persidangan? Pendakwaan sudah menyemak prosedur DUN Sabah, apa kehendaknya? Jadi saya pasti sudah tahu lebih awal, kenapa saat akhir pada 17 Dis baru (surat) dikemukakan?

"Kalau sememangnya tidak boleh nak jalankan kes ini, sekurang-kurangnya saya boleh panggil kes lain untuk didengar, jadi sekarang kamu telah membuang masa saya sepanjang minggu," katanya.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pembelaan menyambung soal balas saksi pendakwaan kesembilan, pegawai khas bekas pengerusi Felcra Nazrul Aswad.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Zizie Ezette kemudian berkata pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap teguran itu dan memohon maaf kepada Rozina bagi pihak peguam bela Bung Moktar, M Athimulan, yang tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.

Zizie Ezette dan seorang lagi peguam Bung Moktar, Ridha Abdah Subri hadir ke mahkamah.

Jelas Kumaraendran, pihak pembelaan dimaklumkan bahawa Bung Moktar yang juga Anggota DUN Lamag mendapat pemakluman pada saat akhir bahawa beliau perlu menjawab beberapa soalan di DUN.

"Sekurang-kurangnya beri kami pemberitahuan sementara yang kamu mungkin tidak dapat hadir kerana apa pun alasan atau mesyuarat ini (DUN), jadi saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku lagi pada saat akhir. Kalau tidak, saya dah boleh isi dengan kes-kes lain yang memang ada yang belum selesai, bukan hanya kes kamu yang harus saya dengar, ada perkara kepentingan awam lain yang harus saya dengar. Sebagai pegawai mahkamah, saya pasti kamu mengetahui amalan mahkamah.

“Saya terpaksa memberi penangguhan kerana kita tidak boleh meneruskan (kes) tanpa kehadirannya kerana ini kes jenayah dan saksi berikutnya adalah saksi penting.

“Walaupun peruntukan undang-undang ada yang membenarkan kita untuk meneruskan kes (tanpa kehadiran tertuduh) tetapi untuk keadilan dalam hal ini, saya pertimbangkan semua tarikh yang dipohon (untuk dilapangkan) dibenarkan yang mana mahkamah terpaksa menjadual semula (perbicaraan) ke tarikh lain," kata Rozina.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan mengemukakan 17 saksi pendakwaan lagi selepas saksi pendakwaan kesembilan selesai memberi keterangan.

Rozina menangguhkan perbicaraan kes itu sehingga 11 Jan ini dan meminta pihak pembelaan mengemukakan tarikh persidangan DUN Sabah yang lengkap bagi memudahkan mahkamah menjadual semula tarikh-tarikh lain perbicaraan kes itu.

"Pada 11 Jan, (pihak pembelaan) sila sahkan mengenai tarikh yang ditetapkan sebab saya tak nak dapat surat seperti ini yang menyatakan terpaksa bersidang, ia tidak elok kerana kedua-duanya (kes mahkamah dan DUN) adalah kepentingan awam dan kedua-duanya penting di sisi rakyat," katanya.

Pada 3 Mei tahun lepas, Bung Moktar, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Ezette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.