Malaysiakini
BERITA

'Bukan putus asa dengan Anwar, tapi PH perlu banyakkan kawan'

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Dis 2020, 1:17 pagi

Selepas sembilan bulan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), Amanah dan DAP kini dilihat sudah mula hilang sabar.

Menurut seorang pemimpin kanan parti Amanah, ini selepas tiada sebarang kemajuan yang dilakukan PH dalam usaha mengambil alih semula kerajaan.

"Dah berapa lama dah kita (bersabar), sejak hilang kerajaanlah. Dah berapa bulan dah? Dah sembilan bulan tak ada perkembangan. Itu sahaja.

"Kalau ada kemajuan tak apalah," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Khamis lalu, dua pemimpin kanan PH menggesa pembangkang melakukan anjakan politik baru dengan menyatukan seluruh blok pembangkang.

Dalam kenyataan itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengingatkan agar PH tidak berharap kepada ahli parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka perolehi.

Sebaliknya, mereka menggesa PH mencari persamaan dalam kalangan parti pembangkang untuk membentuk kerjasama lebih luas bagi menghadapi PN.

Bagaimanapun, kenyataan itu didakwa disalah tafsir apabila ada yang mendakwa Amanah dan DAP menuntut agar ketua pembangkang baru dilantik.

Mengulas lanjut, pemimpin kanan Amanah itu menyifatkan "tidak ada apa yang salah" dalam kenyataan Lim dan Mohamad.

Malah, katanya tidak timbul langsung soal pertukaran Anwar sebagai ketua pembangkang parlimen.

"Apa yang Mat Sabu dengan Guan Eng kata itu tak ada salahnya, kita dah habis kata-kata dah, kita dah tak boleh simpan dah, kita dah sabar berapa lama dah.

"Bukan kita kata, kita tak nak Anwar. Tapi kita kata, kita expand (kembangkan barisan pembangkang). Kita bukan kata kita tolak orang ini dan ambil orang lain jadi ketua. Tak ada. Tapi dia orang sensitiflah.

"Kita tak menolak dia dan kita pun tak kata bila nak tambahkan kawan kita nak (Dr Mahathir Mohamad) jadi ketua, tak ada pun. Kita tak sebut pun," katanya.

Tidak putus asa dengan Anwar

Katanya lagi, kedua-dua rakan sekutu PH itu juga tidak pernah berputus asa dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang ketika ini.

"Kita tak tak putus asa (dengan Anwar) dan tak timbul soal kita nak ketepikan dia. Tapi, dia kata dia ada (nombor), tapi masa mengundi apa keputusannya?

"Maknanya nombor yang ada atas kertas tidak menjelmalah, berapa lama dah macam itu? Berapa kali dah kita undi?

"Itu sajalah, saya tak nak komen lebih dari itu nanti dia kata kita ketepikan dia. Tapi, iyalah dia kata ada nombor. Kalau dia boleh (kemukakan nombor) esok, esoklah," katanya.

Sebelum ini Anwar yang juga pengerusi PH mengumumkan dia memiliki sokongan mencukupi dan kukuh untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN.

Tanpa mendedahkan siapa yang memberikan sokongan itu pengumuman Anwar tersebut membayangkan dia menerima sokongan daripada ahli parlimen Umno.

Dua pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi, disebut-sebut sebagai antara ahli parlimen yang menyokong Anwar.

Namun pemimpin PH menegaskan beberapa kali gabungan itu tidak dapat menerima sokongan daripada ahli parlimen yang terpalit dengan skandal atau sedang dibicarakan.

Luaskan kerjasama

Mengulas lanjut, pemimpin kanan Amanah itu juga berkata PH amat memerlukan kerjasama yang lebih luas kini, lebih-lebih lagi selepas pembangkang gagal menyekat Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada 16 Disember lalu.

"Pada saya dalam keadaan kita sekarang kita kena banyakkan kawan dan kurangkan musuh. Kita jangan bermusuh dengan orang. Kalau rakan kita dulu pun kita nak bermusuh, susahlah.

"Undian pada bacaan kali ketiga (sebelum ini) pun kita dapat 108, dia (PN) dapat 111. Tipis dan ia menunjukkan orang kita tak lari tapi orang dia (Anwar) tak bertambah.

"Semua sokongan 108, kalau tak ada Shafie Afdal dan Mahathir 92 sahaja.Jadi, itu maksud kita grand coalition itu," katanya.

Namun, katanya usaha itu dipandang serong rakan sekutunya sehinggakan Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu kini mula lelah dengan PKR.

"Kita dah bincang banyak kali, Mat Sabu dikata macam-macam. Orang PKR teruk hentam dia, dalam sosial media semua orang tengok gambar Mat Sabu jumpa Mahathir. Tapi gambar Mat Sabu jumpa Anwar dia orang tak kecoh pula.

"Kita faham bila Anwar dan Mahathir tak boleh duduk bersama, jadi Mat Sabu lah yang jadi orang perantara. Berbelas kali, sampai dia dah penat dah tapi itulah orang dok tuduh dia ini orang Tun (Dr Mahathir), kata nak sangat ke Tun (jadi PM).

"Tun nak jumpa dia (Anwar), tapi Anwar yang tak nak. Yang sedihnya Mat Sabu yang kena, Mat Sabu pun kata aku dah tak boleh buat apa dah, 'habis dah daya aku'," tambahnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.