Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu air: Kedah mahukan bayaran, bukan sumbangan - Sanusi

Kerajaan Negeri Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata untuk itu kerajaan negeri berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.

“Kita nak bayaran. Bukan sumbangan. (Kalau) sumbangan, ikut suka bayar berapa duit pun, 4 kupang (40 sen) 5 kupang (50 sen). Sumbangan ini juga kalau nak bagi boleh, tak mau bagi pun boleh,” katanya ketika ditemui pemberita di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini yang menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Muhammad Sanusi turut menganggap kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini yang menyatakan kerajaan negeri Pulau Pinang sedia berunding mengenai isu pampasan air sebagai perkembangan positif bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri Kedah tidak boleh memberi jaminan untuk tidak merobohkan mana-mana struktur bangunan termasuk rumah ibadat yang dibina atas tanah yang bukan milik persendirian dan bertentangan dengan undang-undang.

“Kalau saya jamin satu struktur tidak akan dirobohkan, padahal dibina atas tanah orang lain ataupun dibina di padang permainan kanak-kanak atau dibina di pinggir jalan menghalang lalu lintas, ia bertentangan dengan Akta Jalan Parit dan Tali Air (Akta 133), macam mana seorang Menteri Besar boleh beri jaminan bahawa pihak tertentu boleh melanggar akta tersebut di negeri ini,” soalnya.

Isnin lepas, sebuah gabungan badan bukan kerajaan Hindu dilaporkan menggesa Menteri Besar Kedah itu memberi jaminan tiada lagi kuil dirobohkan di Kedah sebaliknya dipindahkan jika perlu.

Pada awal Disember lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah selepas tapak berkenaan yang dimiliki kerajaan negeri hendak dibangunkan yang seterusnya menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS