Hari Migran Sedunia pada 18 Disember adalah hari untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi golongan migran, termasuklah pekerja asing. Komuniti pekerja asing adalah sebahagian masyarakat negara ini. Bagi tahun 2019, Laporan Survei Tenaga Buruh mencatatkan sebanyak 2.3 juta pekerja asing berada di Malaysia, hampir 15% daripada seluruh tenaga kerja negara.
Bagaimanapun, angka ini mungkin lebih besar memandangkan kajian itu tidak mengambil kira individu yang tinggal di dalam rumah komunal seperti hostel. Sumber lain menganggarkan jumlah pekerja asing adalah antara tiga hingga tujuh juta dengan kebanyakannya pekerja asing tanpa dokumen.
Angka besar ini bermaksud ramai warganegara dan warga asing hidup berdampingan, dan mempengaruhi sentimen awam terhadap migran. Tahun ini, dengan peningkatan kes Covid-19 di kalangan pekerja asing, ada pihak yang menyifatkan pekerja asing sebagai penyebar wabak dan melanggar prosedur operasi standard (SOP). Dengan peningkatan pengangguran di kalangan warganegara, ada juga yang menyalahkan pekerja asing mencuri peluang pekerjaan penduduk tempatan. Adakah adil untuk melabelkan semua migran dengan ciri-ciri ini? Penting untuk memahami sama ada sentimen-sentimen ini tepat. Apa yang kita tidak mahu ialah pembuatan dasar berdasarkan prejudis dan stereotaip, tetapi berdasarkan fakta.
Cabaran kesihatan migran, cabaran kesihatan awam
Setakat 18 Disember, 36,385 warga asing dijangkiti Covid-19, atau lebih kurang 40% daripada 90,816 jumlah kes negara. Jika dibandingkan dengan peratus warga asing di Malaysia—lebih kurang 10% berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa Jabatan Perangkaan—warga asing kelihatan jauh lebih rentan kepada jangkitan. Hampir 99% kes di kalangan migran ditularkan secara tempatan dan banyak jangkitan dikesan di penjara dan depot imigresen. Sebarang jangkitan berpotensi menyebar virus dan menambah beban sistem kesihatan awam negara. Justeru itu, memahami dan menyelesai masalah kesihatan warga asing harus menjadi kepentingan negara.
Perkembangan Covid-19 memberi pemahaman mengenai kerentanan warga asing kepada penyakit. Kajian lepas menunjukkan bahawa proses dan pengembaraan migrasi sering kali hanya berjaya diambil oleh golongan yang sihat. Contohnya, untuk pekerja asing dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pekerja hanya dibenarkan masuk dan bekerja di Malaysia setelah lulus pemeriksaan kesihatan di negara asal dan sekali lagi di Malaysia. Data pemeriksaan kesihatan pekerja asing di Semenanjung Malaysia menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja asing sihat untuk bekerja— pada tahun 2017, hanya 2.2% yang diperiksa didapati tidak sihat. Data kesihatan pekerja asing tidak berdokumen tidak terkumpul dan hampir tiada, tetapi anekdot yang menggambarkan pengembaraan mencabar ke Malaysia memberi indikasi bahawa hanya yang sihat dan kuat boleh mengharunginya dengan jaya.
Walaupun ramai memasuki Malaysia dalam keadaan sihat, migran mengalami kemerosotan kesihatan ketika berada di Malaysia. Satu faktor ialah halangan kepada penjagaan kesihatan. Walaupun warganegara menikmati akses kepada perkhidmatan kesihatan awam pada harga yang murah, migran dikenakan bayaran tinggi di fasiliti swasta dan awam. Pekerja asing dengan PLKS dilindungi oleh Skim Pelindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) tetapi kebiasaannya perbelanjaan kesihatan masih dibayar sendiri kerana skim ini hanya membiayai kos hospitalisasi dan pembedahan di hospital kerajaan. Pekerja asing yang tidak berdokumen menghadapi halangan yang lebih besar. Akibat bimbang ditangkap kerana status mereka, ramai tidak mendapat rawatan kesihatan langsung, merumitkan usaha untuk mengetahui jangkitan Covid-19.
Namun kesihatan tidak hanya ditentukan oleh penjagaan kesihatan; kesihatan ditentukan oleh gabungan faktor termasuk keadaan tempat tinggal dan pekerjaan. Malangnya, faktor-faktor ini juga teruk bagi pekerja asing. Contohnya, hasil kajian etnografi menggambarkan keadaan rumah yang sesak dan kotor untuk pekerja asing, seringkali tidak membenarkan mereka untuk mengikut SOP seperti penjarakan fizikal dan langkah pencegahan lain. Selepas memeriksa asrama pekerja asing sebuah kilang baru-baru ini, pihak berkuasa menggambarkan asrama dengan kenyataan “lebih teruk daripada kandang kerbau.”
Kerajaan telah meningkatkan taraf penginapan pekerja asing melalui pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja, tetapi masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Pematuhan majikan terhadap akta rendah—kurang daripada 10% pekerja asing mendiami tempat tinggal yang patuhi akta tersebut. Persoalan juga terbangkit sama ada “minimum” yang dimaksudkan dalam akta mencapai tahap kualiti memuaskan. Tambahan lagi, taraf tempat tinggal pekerja asing yang tidak diberi kediaman oleh majikan tidak terjaga bawah akta memandangkan akta hanya terpakai untuk majikan yang menyediakan kediaman.
Bertentangan dengan mitos bahawa pekerja asing adalah penyebar penyakit yang dibawa masuk dari negara asing, kualiti hidup yang rendah di Malaysia menjadikan pekerja asing lebih rentan kepada jangkitan dan penyakit.
Kepentingan pekerja asing kepada ekonomi
Berdasarkan World Values Survey tahun 2018, 55.7% responden di Malaysia berpendapat imigrasi meningkatkan pengangguran. Satu lagi tinjauan nasional yang dijalankan pada tahun 2019 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mendapati 47% responden menyatakan pekerja asing memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia. Persepsi ini mungkin akan bertambah teruk ketika pandemik dengan kadar pengangguran di kalangan warga tempatan meningkat daripada 3.4% pada suku tiga 2019 kepada 4.7% pada suku tiga 2020. Tetapi, kadar pengangguran di kalangan bukan warganegara juga meningkat daripada 2.1% kepada 4.4% pada tempoh yang sama.
Data tidak menyokong persepsi bahawa imigrasi meningkatkan pengangguran kepada rakyat Malaysia. Malah, dengan menggunakan data tenaga kerja dari tahun 1990 hingga 2010, Bank Dunia mendapati bahawa kemasukan pekerja asing meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan warga tempatan. Jelas kajian tersebut, tenaga kerja tempatan semakin berpendidikan dan membuat pekerjaan berkemahiran lebih tinggi, lalu pekerja asing dibawa masuk untuk memenuhi permintaan bagi pekerja berkemahiran rendah, menerima gaji rendah dan keadaan kerja yang buruk. Sehingga hari ini, ekonomi Malaysia bergantung pada pekerja asing untuk mengambil pekerjaan yang dianggap kotor, bahaya, berat dan sukar.
Secara amnya, pekerja asing tidak melakukan kerja yang sama dengan pekerja tempatan, lalu persaingan untuk kerja antara kedua-dua kumpulan pekerja ini adalah terhad.
Pada pertengahan 2020, lebih kurang 1.5 juta pekerja asing memegang PLKS, penurunan berbanding hampir dua juta pada tahun 2019. Tetapi tren pengurangan ini tidak bermakna kita harus memandang remeh saiz pekerja asing negara. Dengan penutupan sempadan dan keruduman ekonomi dunia, ramai pekerja asing mungkin terus mendiami Malaysia sebagai pekerja asing tanpa dokumen, dengan harapan untuk menyara hidup diri dan keluarga di negara asal. Situasi ini akan meningkatkan jumlah pekerja asing tidak berdokumen, mengetengahkan betapa pentingnya untuk memahami situasi semua pekerja asing, bukan sahaja pekerja asing dengan PLKS.
Pesan orang lama “jangan sudah terhantuk baru tengadah”. Kita seharusnya mengambil iktibar dan berazam untuk memperbaiki keadaan. Pandemik ini memberi peluang untuk Malaysia membina semula, bukan kepada status quo sebelumnya, tetapi kepada Malaysia yang lebih baik dan adil untuk semua. Sudah tiba masa untuk kita memandang serius cabaran pekerja asing, menghargai penyumbangan pekerja asing kepada pembangunan negara dan menjaga kebajikan pekerja asing.
JARUD ROMADAN KHALIDI adalah penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
