mk-logo
Berita
Puad ajak ahli parlimen BN tarik balik sokongan pada Muhyiddin
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 1:48 AM
Dikemaskini: 1:51 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Puad Zarkashi menyarankan ada antara anggota parlimen BN melakukan tindakan berani dengan menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin.

Kata Puad walaupun langkah itu dilihat seolah-olah membunuh diri namun jika ia dilakukan "demi rakyat" maka tidak ada apa salahnya.

"Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai perdana menteri. Nampak macam kamikaze tetapi apa salahnya, demi rakyat.

"Mungkin tidak semua (ahli parlimen BN) sanggup. Lima orang tarik sokongan pun alhamdulillah. Tiga pun OK. Gunakan hati nurani," katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Puad merupakan bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya melibatkan Bersatu.

Muhyiddin merupakan presiden Bersatu yang kini menjadi perdana menteri dengan sokongan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Awal bulan ini dia berjaya melepasi halangan besar yang dibina pembangkang apabila Belanjawan 2021 berjaya mendapat sokongan mencukupi - walaupun dengan kelebihan tiga undi - untuk diluluskan.

Di sebalik gesaan dibuat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah serta semua pembangkang, belanjawan berkenaan tetap mendapat 111 undian berbanding 108 menolaknya.

Ada cara untuk bertindak

Belanjawan terbabit turut mendapat sokongan beberapa ahli parlimen Umno yang sebelum itu kelihatan lantang mengkritik serta memberi tekanan kepada kerajaan.

Menurut Puad dengan lulusnya Belanjawan 2021 Muhyiddin memang boleh berasa lega namun rakyat pula berasa sebaliknya.

"Janji mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat bank-bank yang liat.

"Rakyat terbelenggu dengan kriteria terutama untuk kategori dua pengeluaran KWSP.

"Moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga industri kecil dan sederhana," katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN, Najib Razak, kata Puad, berjanji untuk terus menuntut PN menepati janji sehingga dua isu yang disebutkannya itu diselesaikan.

Jika tiada perubahan dan kerajaan terus berdolak-dalik untuk tempoh yang munasabah, katanya, masih ada cara untuk BN bertindak.

"Betul, ahli parlimen akan dipertanggungjawabkan. Mereka saja yang boleh mengundi.

"Harga seorang ahli parlimen memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan keberanian politik," katanya.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini