Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pejuang terbuka bentuk gagasan rasmi sertai PRU ke-15
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 10:18 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Nota editor: Berita ini asalnya memetik laporan disiarkan Sinar Online dan kemudian diubah selepas Malaysiakini melihat semula klip video rakaman temu bual Mukhriz Mahathir berkenaan.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang sebagai calon bebas, kata presiden penajanya, Mukhriz Mahathir.

Sebaliknya kata bekas menteri besar Kedah itu, Pejuang mempunyai beberapa pilihan dan sedang membuat pertimbangan bagi mencari langkah terbaik.

Menurut Mukhriz Perjuang memang terbuka untuk memastikan parti itu menyertai PRU akan datang sebagai "gagasan yang rasmi".

"Sebaik-baiknya kita (Pejuang) mestilah sebahagian daripada satu parti politik.

"Ada beberapa pilihan, kita akan pertimbangkan kesemuanya," kata Mukhriz dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam.

Mukhriz merupakan bekas timbalan presiden Bersatu yang memilih untuk berpisah daripada parti yang diasaskannya bersama beberapa tokoh lain itu selepas kumpulan penyokong Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Dia bersama beberapa pemimpin lain - termasuk Dr Mahathir Mohamad yang pernah dilantik sebagai pengerusi Bersatu - kemudian menubuhkan Pejuang.

Bagaimanapun sehingga kini pendaftaran Pejuang belum diluluskan oleh kerajaan.

Pada 29 Okt lalu Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah berkata sebanyak tujuh permohonan pendaftaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) namun pihaknya belum mendapat jawapan bertulis mengenai status mereka.

Untuk rekod ROS terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang kini diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

Justeru, Pejuang membuat permohonan semakan kehakiman untuk memaksa ROS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti terbabit pada 10 Dis lalu. 

Menurut Mukhriz Pejuang sedar mereka tidak boleh memasang impian terlalu tinggi.

"Kita kena muhasabah diri, kena ukur baju di badan sendiri... kita pasang cita-cita terlampau tinggi padahal kita tidak berkemampuan, nak berjuang seorang memang sukar tetapi keputusan atau pendekatan itu akan dilaksanakan sebelum PRU ke-15 nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS