Kemasukan rakan baik penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk KS Nalakaruppan ke dalam parti itu minggu lalu telah menimbul 'ketegangan' dan 'keresahan' kalangan anggota masyarakat India dalam parti berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR S Manikavasagam, rakan baik Anwar itu akan membawa bersamanya budaya buruk MIC ke dalam parti itu sebagaimana yang berlaku di di majlis kemasukannya ke dalam parti itu di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Nallakaruppan adalah bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC dan sebelum ini dipenjarakan kerana didapati bersalah memiliki peluru pistol tanpa permit.

Selepas dibebaskan dari penjara beliau membawa keluarganya berhijrah ke luar negara sebelum kembali ke tanahair pada tahun 2003.

Manikavasagam (foto kanan) mendakwa Nallakaruppan menunjukkan belang sebenarnya apabila 'menghalau'nya dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Xavier Jeyakumar dari pentas utama di majlis tersebut.

Kejadian itu, katanya berlaku di depan Anwar, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan pucuk pimpinan parti yang lain.

Manikavasagam mendakwa, Nallakaruppan menjerit " bangun...bangun..." ke arahanya dan Dr Xavier (foto kiri) ketika majlis tersebut baru bermula. * [Penjelasan]

Berikutan itu, beliau dan Dr Xavier turun dari pentas dan beredar ke barisan belakang bersama ahli PKR lain.

"Ini budaya MIC dan PKR tidak boleh menerima budaya ini. Saya merasa amat malu dengan apa yang terjadi," katanya sambil menambah tindakan Nallakaruppan itu akan memberi kesan buruk kepada PKR sebagai sebuah parti berbilang kaum.

Manikavasagam menambah, ketika kejadian itu berlaku beliau bersama Dr Xavier duduk sebaris dengan pucuk pimpinan parti untuk meraikan kemasukan Nallakaruppan dan 2,000 masyarakat India ke dalam PKR.

Timbalan Ketua Pemuda PKR itu berkata, peristiwa itu sangat memalukan dirinya kerana ia berlaku di depan barisan pemimpin utama PKR selain disaksikan oleh ribuan ahli.

Agenda perjuangan

Beliau mendakwa, Nallakaruppan bertindak demikian kerana mensyaki beliau menghalang kemasukannya ke dalam PKR.

"Saya tidak ada kuasa untuk menyekat sesiapapun dari menyertai PKR, malah saya mengalu-alukan kemasukan Datuk Nalla kerana ia akan memperkuatkan parti," tegasnya.

Dalam wawancara dengan malaysiakini barau-baru ini Nallakaruppan berkata tujuannya menyertai PKR kerana mahu membantu Anwar kembali ke arena politik negara dan membasmi kemsikinan di kalangan masyarakat India.

Bagaimanapun, Manikavasagam mendakwa, semasa berucap di majlis tersebut, Nallakaruppan tidak membentangkan agenda yang mahu diperjuangkan bagi memajukan masyarakat India di Malaysia.

Sebaliknya katanya, Nallakaruppan hanya menceritakan pengalaman semasa ditahan polis kerana didakwa bersekongkol dengan Anwar dan pernah diancam dihukum gantung jika tidak bekerjasama dengan polis.

"Orang tidak mahu dengar semua itu lagi, beliau sepatutnya memberitahu apa yang boleh dilakukannya untuk kaum India di negara ini," katanya lagi.

'Tidak berlaku sebarang insiden'

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua pula menafikan insiden tersebut berlaku.

"Saya rasa tidak berlaku sebarang insiden seperti itu kerana program itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah."

"Parti ini tidak mengambilkira kaum atau latar belakang parti seseorang samaada MIC, PPP atau IPF sebab PKR adalah parti pelbagai kaum. Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja. Jika mereka menimbulkan masalah, kami akan bawa berbincang dan menyelesaikannya," tambahnya bila dihubungi petang ini.

Tian berkata, parti ini adalah sebuah parti demokrasi yang mempunyai pelbagai latarbelakang, oleh itu tidak mungkin budaya parti lain akan menjejaskan PKR.

Malaysiakini juga cuba menghubungi Nallakaruppan untuk mendapatkan penjelasannya namun gagal.

Dalam perkembangan lain, Manikavasagam mengumumkan akan meninggalkan PKR selepas tempoh jawatannya sebagai Timbalan Ketua Pemuda berakhir tahun depan.

Katanya, beliau sudah bosan dengan pelbagai karenah dalam PKR dan mahu bergiat sepenuh masa dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Sebelum ini, beliau pernah menghantar surat meletak jawatan tetapi menarik balik tidak lama kemudian kerana dipujuk oleh pucuk pimpinan parti.

Malaysiakini bagaimanapun, tidak dapat menghubungi Dr Xavier untuk mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.