Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amboi Najib, mulut tak ada insurans - Salahuddin
Diterbitkan:  Dec 27, 2020 7:49 PM
Dikemaskini: 12:01 PM

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani (MOA) Salahuddin Ayub mencabar bekas perdana menteri Najib Razak menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kartel daging import.

Ini selepas Najib mengatakan isu berkenaan tidak pernah timbul sepanjang tempoh dia menjadi perdana menteri.

“Amboi. Mulut tak ada insurans,” ciap timbalan presiden Amanah itu di Twitter.

“Kalau berani mari sama-sama perjuangkan supaya RCI ditubuhkan untuk siasat kes ni,” katanya yang turut memuatkan tangkap layar laporan berita mengenai kenyataan Najib sebelum itu.

Najib hari ini mendakwa kerajaan pimpinannya tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi mengenai isu kartel daging yang membawa masuk daging yang diragui status halalnya.

"Saya juga telah check dengan menteri-menteri berkenaan pada masa itu dan mereka juga mengesahkan tiada aduan pernah diterima dan media juga tak pernah timbulkan isu ini sepanjang masa saya PM.

"Oleh sebab isunya amat berat, sudah tentu kerajaan BN dahulu akan mengambil tindakan jika kita menerima aduan rasmi atau matlumat.

"Namun tidak pernah ada aduan rasmi diterima dan media juga tidak pernah timbulkan isu ini masa itu," katanya menerusi Facebook.

Sebaliknya, katanya, isu itu pertama kali dilaporkan pada tahun Okt tahun lepas ketika pentadbiran PH.

Najib turut memuatkan pautan-pautan berita yang menunjukkan menteri agama ketika itu, Mujahid Yusof dan timbalannya Fuziah Salleh menangkis dakwaan bahawa pegawai Jakim terlibat dalam kegiatan itu.

Selain itu dia juga berkongsi pautan berita mengenai jaminan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya untuk menyiasat pembabitan pegawai Jakim dalam kartel berkenaan.

Bagaimanapun, kata Najib, Mujahid semalam berkata SPRM tidak pernah campur tangan atau menyiasat isu itu semasa dia menjadi menteri.

“Sebab itu, kita patut tanya Latheefa Koya, kekanda (Mujahid) dan Fuziah apa status siasatan berhubung kartel daging ini sepanjang tempoh empat bulan mereka menyiasat,” kata Najib.

Sinar Harian pada bulan lalu mendedahkan kegiatan mengimport daging sejuk beku dari negara tidak menerima kelulusan sah Jakim. Dakwaan itu dilakukan oleh syarikat ejen fret yang dipertanggungjawabkan menguruskan proses pengimportan daging halal

Daging itu dilaporkan dibungkus semula dengan jenama daging halal dan pelekat halal berserta logo Jakim sebelum diedarkan di pasar raya seluruh negara.

Pendedahan itu membawa kepada serbuan di sebuah gudang di Senai awal bulan ini, diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Laporan New Straits Times bulan ini pula mendakwa kartel itu sudah beroperasi selama 40 tahun, hasil subahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut.

Lihat Komen
ADS