Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, sebarang masalah yang timbul mengenai tafsiran Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa ke mahkamah melalui proses yang sedia ada.

Katanya, proses tersebut itu akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan konsep "Kedaulatan undang-undang" yang terpakai dalam sistem undang-undang negara ini.

Bagaimanapun katanya ini tidak bererti kerajaan mahu memansuhkan atau meminda Perkara 121(1A).

Beliau menegaskan, Perkara 121 (1A) tidak akan dipinda atau dimansuhkan kerana pembahagian bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di negara ini adalah jelas.

Menurut laporan Bernama, Nazri juga menekankan, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara adalah dijamin Perlembagaan dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan perkara itu.

Kerajaan juga katanya tidak akan membenarkan mana-mana pihak bertindak menggugat kebebasan beragama di negara ini seperti yang telah dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan berpendapat adalah tidak perlu bagi sebarang badan ditubuhkan untuk membincangkan mengenai hal-hal agama seperti Majlis Antara Agama atau Forum Artikel 11.

"Walaupun kerajaan memberikan kebebasan bagi rakyat Malaysia membincangkan isu-isu semasa, termasuk memberi kritikan membina kepada kerajaan, kerajaan tidak dapat memanjangkan kebebasan yang sama kepada isu-isu yang berpotensi untuk menimbulkan kegusaran di kalangan penganut agama yang berbeza. Itu pendirian kerajaan," katanya.

Kontroversi hak beragama

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (BN-Gerik) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat Isnin mengenai jaminan kerajaan bahawa kedua-dua Artikel 11 mengenai kedudukan agama Islam serta Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan mahkamah syariah tidak akan dipinda dan perbahasan terbuka mengenainya patut dihentikan.

Mohamed Nazri berkata tidak dapat dinafikan bahawa perbincangan seperti perkara 11 telah menimbulkan kontroversi yang jika dibiarkan berpanjangan, akan menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan dan akan melebarkan jurang antara rakyat yang berlainan agama.

"Oleh itu kerajaan telah mengarahkan semua pihak untuk menghentikan sebarang bentuk perbincangan, forum atau persidangan agama seumpama itu dengan serta-merta sebelum keadaan yang membimbangkan menjadi tidak terkawal," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mengendahkan amaran kerajaan itu dan pihak yang menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menggugat keharmonian antara rakyat di negara ini.

Untuk mengekalkan keharmornian rakyat berbilang kaum di negara ini, menurutnya semua pihak perlu menerima dengan ikhlas hak setiap rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Ini termasuklah amalan azan di masjid atau surau atau bunyi loceng yang didengar dari rumah ibadah agama lain. Penerimaan ikhlas itu juga perlu disertai dengan kesedaran bahawa perbincangan mengenai agama adalah sesuatu isu yang begitu sensitif sekali, malah lebih sensitif dari isu perkauman," katanya.