Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan berahsia status halal vaksin Covid-19: Azan Ismail

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mengingatkan kerajaan agar tidak berahsia dalam soal perolehan vaksin Covid-19 termasuk mengenai status halalnya.

“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) seolah-olah hendak mengheret rakyat kepada zaman yang semuanya rahsia, hanya kerajaan yang tahu segalanya. Rakyat tak perlu tahu apa-apa.

“Ini sangatlah kuno cara pentadbiran dan cara pengurusannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Azan, meskipun terikat dengan perjanjian kerahsiaan (NDA) di antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin, namun ada perkara perlu diketahui seperti maklumat ejen yang terlibat dalam perolehan vaksin, dan pihak atau agensi yang akan menilai status halal vaksin.

Azan turut memberikan contoh mengenai isu kartel daging import yang kini menjadi menjadi polemik besar di kalangan rakyat apabila agensi yang diberikan kepercayaan penuh berhubung pensijilan halal turut terpalit sama.

“Kalau benda ini juga dirahsiakan, keraguan timbul,” kata Azan.

Lebih-lebih lagi, katanya, sekiranya ‘ejen’ yang dilantik tidak mempunyai kaitan dengan bidang perubatan, maka rakyat perlu tahu apakah kelayakan syarikat itu sehingga menjadikannya layak dilantik sebagai ejen.

Minggu lalu, seorang peguam memberitahu Malaysia mungkin berdepan risiko pembatalan perjanjian pembelian dan perolehan vaksin Covid-19 sekiranya negara didapati melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan syarikat pengeluar vaksin.

Wan Azmir Wan Majid - seperti dipetik Bernama - berkata jika syarat NDA adalah cadangan daripada pengeluar vaksin, negara tiada pilihan selain mematuhinya.

NDA adalah satu kontrak yang termaktub terma merahsiakan sesuatu perkara atau perbuatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata dia akan memberi taklimat khas kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan terperinci segala perkara berkaitan pembekalan vaksin Covid-19 termasuk kos yang ditentukan oleh setiap syarikat pengeluar.

Khairy turut menjelaskan mana-mana syarikat bebas berunding dengan syarikat pengeluar vaksin antarabangsa untuk menjadi menjadi ejen atau pengedar, namun itu tidak bermakna usahasama itu melibatkan perolehan kerajaan.

Namun, katanya, mana-mana syarikat yang mahu terlibat dalam urusan vaksin di negara ini tetap harus terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak regulatori seperti Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Lihat Komen
ADS