Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majikan ingkar SOP boleh dipenjara hingga 12 bulan - Ismail Sabri
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 10:36 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

Majikan yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk enggan memastikan pekerja asing menjalani ujian wajib Covid-19, berisiko didakwa di mahkamah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 12 bulan.

Ini selepas kerajaan dikritik apabila sebuah kilang sarung tangan getah di Klang hanya dikompaun sebanyak RM1,000 kerana melanggar SOP Covid-19.

"Ada berita katakan sebuah kilang industri didenda RM1,000, jadi menyebabkan rakyat marah, kes begitu besar sekali tapi denda hanya RM1,000," katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail sekali lagi menjelaskan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 hanya membenarkan denda maksimum sebanyak RM1,000 dikenakan kepada majikan yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

"Kalau kita nak tambah lagi denda sehingga RM10,000 boleh, tapi akta ni mesti dibawa ke parlimen untuk dipinda. 

"Kita memberi pilihan kepada MOH (kementerian kesihatan), tak perlu kompaun mereka, boleh terus hadapkan majikan-majikan yang berdegil ini ke mahkamah.

"Jadi saya harap majikan boleh bekerjasama dengan KSM (Kementerian Sumber Manusia) kerana jadual untuk buat pemeriksaan telah disediakan oleh KSM kepada majikan," jelasnya.

Ujian saringan wajib Covid-19 bagi 1.7 juta pekerja asing bermula secara berperingkat mulai 1 Dis, merangkumi empat negeri dan dua wilayah persekutuan, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Sabah,  Kuala Lumpur dan Labuan.

Pada 24 Dis lalu, Ismail Sabri menyatakan rasa kesalnya kerana hanya 42,248 pekerja asing dihantar oleh 1,990 majikan mereka untuk menjalani ujian saringan berkenaan.

Justeru katanya kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan yang ingkar bermula 1 Januari 2021.

Ismail Sabri hari ini berkata seramai 34,903 majikan telah menghantar 821,127 pekerja asing untuk menjalani ujian.

Dia juga meminta majikan dari negeri-negeri lain selain enam negeri tersebut melakukan perkara yang sama.

"Saya difahamkan selepas Feb, barulah saringan ini akan ke negeri-negeri lain tapi saya harap majikan-majikan yang tidak termasuk dalam enam negeri ni, mereka boleh ambil inisiatif untuk menghantar pekerja mereka untuk disaring

"Ini juga (melibatkan) kepentingan perniagaan kerana jika ada kes di kilang mereka, kita akan tutup kilang mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS