Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2016: Janji sifar potholes, 2020: Lebih baik JKR henti kerja, kata Lando

Aktivis keselamatan jalan raya Lando Zawawi menyoal mana perginya aku janji Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2016 untuk memastikan tidak akan ada jalan awam yang berlubang di negara ini.

Hal ini dibangkitkan Lando, atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi, susulan isu menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kemalangan kerana terlanggar jalan berlubang di Banting, Selangor sewaktu berbasikal.

“JKR dah ada aku janji sifar potholes (jalan berlubang). Buktikan aku janji itu benar,”

“Kami dah bayar cukai jalan. Mohon buat kerja yang diamanahkan.

“Dah terlalu banyak saluran aduan dan terlalu lama kami bersabar. Mana pergi semua janji?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 2017, seramai 78 jurutera JKR dilapor menandatangani aku janji selepas Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) mengisytiharkan sasaran dalam menjadikan ibu negara ini bebas daripada lubang.

Isu kemalangan jalan raya melibatkan Khairy di Banting semalam menyebabkan JKR Kuala Langat memohon maaf dan berkata akan menangani segera isu itu.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar 

Insiden itu juga mencetuskan perbualan hangat di media sosial apabila ramai memuat naik gambar berlubang di kawasan masing-masing serta mendakwa JKR pilih kasih.

JKR hari ini berkata akan melakukan yang terbaik dalam memantau keadaan jalan raya dan mengambil serius aduan warga maya berhubung keadaan jalan.

‘Cepat kalau tular’

Sementara itu, Lando berkata, JKR hanya akan bertindak cepat jika ada kemalangan yang tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.

“Paling cepat dalam rekod adalah kes menteri jatuh basikal (melibatkan Khairy). Siap permohonan maaf.

“Kalau tak diketahui, mereka masih lambat,” katanya mewakili kumpulan yang dinamakan Ikatan Silaturahim Brotherhood Malaysia dan Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Mangsa Kejam).

Lando

Lando yang juga seorang pelakon mula bergiat sebagai aktivis keselamatan jalan raya sejak tahun 2008.

Melalui Ikatan Silaturahim Brotherhood Malaysia, Lando bersama ahli-ahli persatuan itu giat melakukan aktiviti sukarelawan dengan menurap jalan berlubang.

‘Lebih baik berhenti kerja’

Lando berkata JKR tidak pernah memohon maaf secara peribadi kepada rakyat biasa yang menjadi mangsa kemalangan disebabkan jalan berlubang.

“Tidak pernah (mohon maaf). Kalau datang jumpa waris arwah pun ucap takziah dan duit sagu hati.

“Mengaku kesilapan tidak pernah. Sebab kalau mengaku mesti kena saman,” katanya.

Menurut Lando lagi, jika ada aduan sekalipun, hasil turapan selalunya tidak berkualiti kerana JKR masih belum ada garis panduan turapan sementara.

Katanya, garis panduan ini penting bagi memastikan kualiti kaedah turapan dan bahan terjamin sehingga peruntukan turapan kekal dikeluarkan.

Lando juga menegaskan isu jalan berlubang tidak akan ada sekiranya pihak JKR melaksanakan pemantauan dengan cekap dan melaksanakan palaman yang berkualiti.

“Kenapa tidak boleh memperkasakan pemantauan dan tindakan segera?

“Bukan JKR tiada unit pemantau laluan. Mana pergi fungsi mereka?

“Sejujurnya lebih baik (JKR) berhenti kerja dari kerja harap aduan,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS