Majlis Peguam Malaysia hari ini mengutuk pengedaran poster yang mengandungi ancaman bunuh terhadap seorang anggotanya, Malik Imtiaz Sarwar, yang didakwa dikeluarkan bagi menakutkan, mengancam dan menekan seorang anggota majlis itu dalam melaksanakan tugas dan peranan sebagai seorang peguam.

"Ancaman bunuh itu berhubung dengan tugas Malik Imtiaz sebagai peguam pemerhati Majlis Peguam dalam kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan," kata presidennya Yeo Yang Poh.

Lina Joy, 42, atau nama sebenarnya Azlina Jailani, yang mengaku murtad, membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap penghakiman majoriti 21 Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonanannya untuk memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Menurut laporan Bernama, dalam rayuan itu, beliau menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Sabtu lau, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengugut individu tertentu yang terlibat dengan kes Lina Joy, termasuk terhadap Malik.

Presiden Abim, Yusri Mohamad berkata, pihaknya menentang mana-mana pendekatan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum Syarak dan undang-undang negara dalam menangani sebarang isu.

Manakala Malik, ketika dihubungi malaysiakini Sabtu lalu berkata, beliau melihat sendiri risalah tersebut yang berbunyi 'Dikehendaki Mati' dan disertakan dengan gambar beliau yang diberikan oleh seorang kawannya baru-baru ini.

Gesa jalan siasatan

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mendapatkan nasihat polis sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap risalah ugutan yang diterimanya itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yeo berkata: "Ia menjadi kenyataan bahawa menjadi peguam pemerhati, Malik Imtiaz Sarwar telah meningkatkan kedudukan Majlis Peguam mengenai isu-isu perundangan berkaitan kes itu," kata Yeo dalam kenyataan di sini hari ini.

"Ia menjadi tanggungjawab setiap peguambela dan peguamcara mengemukakan kes pelanggan tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

Jelasnya, di bawah perlindungan mahkamah, peguambela dan peguamcara bebas untuk membawa kes pelanggan "tidak kira bagaimana hujah yang tidak sedap atau menyakitkan fakta mungkin dilihat mana-mana pihak lain."

Menyifatkan ancaman itu sebagai tindakan memalukan, Yeo berkata ancaman itu bukan sahaja terhadap seorang individu peguam tetapi ancaman terhadap dasar sistem kehakiman negara.

Yeo menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak atau pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap pengedaran dan kandungan poster-poster berkenaan.

"Pihak individu yang bertanggungjawab perlu didakwa mengikut undang-undang. Masyarakat Malaysia harus bertindak dengan membuktikan bahawa tidak ada ruang untuk membuat ancaman bunuh atau tindakan menakutkan dalam masyarakat bertamadun di negara ini," katanya.