Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian HSR dengan S'pura ditamatkan, M'sia kena bayar pampasan
Diterbitkan:  Jan 1, 2021 10:37 AM
Dikemaskini: 2:38 AM

Kerajaan Singapura mengesahkan perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dengan Malaysia telah ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api dan ini telah dibincangkan antara kerajaan kedua-dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin bertemu melalui sidang video pada 2 Disember 2020, untuk mengkaji semula status projek HSR, termasuk perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia dalam projek itu.

"Malaysia sejak itu mengizinkan penamatan perjanjian dua hala HSR dan perlu membayar pampasan kepada Singapura atas biaya yang telah dikeluarkan oleh Singapura dalam memenuhi kewajipannya berdasarkan perjanjian dua hala HSR, sesuai dengan perjanjian para pihak," katanya dalam sebuah pernyataan.

Kementerian Pengangkutan Singapura tidak mendedahkan berapa jumlah pampasan yang akan dibayar Malaysia.

The Edge Markets sebelum ini melaporkan yang penamatan itu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos kira-kira RM300 juta.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, meskipun dengan penamatan projek itu, ia berharap untuk terus mengekalkan hubungan baik dengan Malaysia.

“Hubungan kami dengan Malaysia adalah mendalam dari pelbagai aspek, dan kami berharap untuk mengekalkan hubungan baik dan kerjasama rapat dengan Malaysia demi kepentingan bersama rakyat di kedua-dua negara,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama yang berasingan selepas itu, Muhyiddin dan Lee berkata Malaysia dan Singapura tidak dapat mencapai persetujuan berhubung perubahan yang dicadangkan kepada HSR.

Perubahan kerana keadaan ekonomi Malaysia

Kata mereka, perubahan yang dicadangkan Putrajaya dibuat berasaskan keadaan ekonomi Malaysia.

Defisit Malaysia tahun ini dijangkakan melonjak ke 6 peratus daripada ramalan awal 3.2 peratus.

“Menilai kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia, kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan terhadap projek HSR.

“Kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan-perubahan ini, dan tidak dapat mencapai persetujuan.

“Oleh itu, perjanjian HSR luput pada 31 Dis 2020,” kata mereka.

Kedua-dua pemimpin itu berkata kedua-dua negara akan akur pada tanggungjawab masing-masing dan akan melakukan “tindakan yang sepatutnya” akibat penamatan perjanjian itu.

Bagaimanapun, mereka tidak menyebut jumlah pampasan yang terlibat.

Muhyiddin dan Lee berkata mereka tetap komited untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik antara kedua negara.

Perjajian dua hala HSR KL-Singapura ditandatangani pada 2016 tetapi pembinaannya ditangguhkan pada September 2018.

Kerajaan PH sebelum ini menganggarkan projek itu akan menelan kos sehingga RM100 bilion.

Malaysia meminta beberapa lanjutan ekoran penangguhan yang luput pada 31 Dis tahun lalu.

Putrajaya dilaporkan mahu HSR dihubungkan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan cadangan perubahan itu ditolak Singapura.

Di bawah rancangan asal, HSR sepatutnya mempunyai hentian di Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Malaysia serta Jurong East di Singapura.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS