Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ahli Umno dicuri' - Bersatu pertimbang tindakan undang-undang terhadap Asyraf
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 2:21 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Bersatu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki setelah dia menuduh parti itu membeli ahli Umno, menandakan satu lagi masalah antara parti sekutu Perikatan Nasional.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan (gambar judul) menafikan tuduhan itu dan menuntut permohonan maaf daripada Asyraf.

"Tindakan beliau (Asyraf) menyebut "setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000" tidak dapat diterima sama sekali.

"Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini. Saya menuntut Asyraf memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta merta.

"Saya juga akan berbincang dengan pihak parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya pada hantaran di Facebook.

Bersatu nak lemahkan Umno?

Asyraf membuat tuduhan itu awal hari ini melalui hantaran di Facebooknya.

Dia tersinggung selepas artikel oleh BH Online baru-baru ini memetik Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata parti pemerintah itu berhasrat memiliki 8,000 cawangan dalam masa tiga bulan akan datang.

Hamzah dilaporkan berkata Bersatu tidak memikat ahli Umno. Tetapi jelasnya, terserah kepada ahli Umno untuk menyertai Bersatu kerana kedua-dua parti itu anggota PN.

Asyraf menyoal sekiranya Hamzah mempertahankan apa yang didakwanya usaha berterusan Bersatu untuk "mencuri" ahli Umno.

"Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan di kalangan ahli dan pimpinan Umno akar umbi seluruh negara yang mendakwa Bersatu galak 'mencuri' dan 'membeli'ahli Umno.

"Justeru, kenyataan pimpinan tertinggi Bersatu yang semacam tiada rasa bersalah bahkan mempertahankan kemasukan ahli Umno ke dalam Bersatu atas dasar ‘keterbukaan’ dan alasan di bawah satu ‘bumbung Perikatan Nasional’ hanya akan menyebabkan hubungan Umno-Bersatu makin meruncing dan membarah.

"Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli Umno jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar Parti Perikatan Nasional diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan Umno," katanya.

Asyraf menggesa supaya Bersatu berhenti 'memikat' ahli Umno.

 

Lihat Komen
ADS