Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno mungkin beri laluan pada Muhyiddin di Pagoh, tapi tak mahu Bersatu di 3 negeri
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 10:42 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

Di tengah-tengah ketegangan antara Umno dan Bersatu, Muhyiddin Yassin mungkin diberi laluan oleh Umno untuk mempertahankan kerusinya di Pagoh, Johor pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Umno tidak mahu Bersatu bertanding di Pahang, Kelantan dan kebanyakan kerusi di Perak. Bersatu ada tujuh ahli Parlimen di negeri-negeri ini.

Bercakap dengan pemberita di Johor, Ketua Penerangan Umno Johor Dr Adham Baba berkata Umno negeri itu sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tentang kesedian mereka untuk memberi laluan kepada presiden Bersatu itu untuk mempertahankan kerusi Pagoh.

"Muhyiddin seharusnya diberi laluan untuk kekal bertanding di Pagoh," katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Umno akan memberi laluan kepada Bersatu untuk mempertahankan kerusinya yang lain di Johor - termasuk DUN Gambir yang dipegang Muhyiddin.

Selain Pagoh, Bersatu ada dua lagi ahli Parlimen di Johor iaitu Santhara Nair (Segamat) dan Rashid Hasnon (Batu Pahat). Kedua-duanya bekas ahli PKR.

Bersatu juga menang di Muar, Sri Gading, Simpang Renggam, and Tanjung Piai pada PRU lalu.

BN merampas semula Tanjung Piai pada PRK dua tahun lalu, manakala tiga lagi ahli Parlimen kini menjadi pembangkang.

Bersatu juga ada 12 Adun di Johor, termasuk Muhyiddin.

Sementara itu, Pengerusi Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata Bersatu tidak perlu bertanding langsung di negeri itu.

“Saya fikir Bersatu oleh sebab tidak ada kerusi di Pahang, jadi mereka tidak perlu bertanding di Pahang,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Pada PRU14, Bersatu tidak menang mana-mana kerusi Parlimen di Pahang. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah kini merupakan ahli parti itu selepas keluar PKR.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa - yang dikenali sebagai penyokong kerjasama dengan Bersatu - juga mahu parti itu tidak bertanding di Kelantan.

"Setuju. Kelantan juga," katanya dalam ciapan di Twitter, yang turut melampirkan laporan kenyataan Wan Rosdy.

Sama seperti Pahang, Bersatu tidak menang mana-mana kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU14. Bagaimanapun Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz keluar Umno pada 2018 untuk menyertai Bersatu.

Di Perak, Pengerusi Umno Negeri Saarani Mohamad berkata pihaknya tidak akan menyerahkan lima kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU14.

Ia melibatkan tiga kerusi Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Tualang Sekah dan Sungai Manik.

Kesemua wakil rakyat kerusi itu juga keluar parti untuk menyertai Bersatu.

Pada 2018, Bersatu hanya menang satu kerusi Parlimen di Perak iaitu Tambun.

Hubungan antara Umno dan Bersatu terus tegang walaupun kedua-duanya termasuk dalam gabungan pemerintah.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman hari ini dipetik Harian Metro sebagai berkata, Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Lihat Komen
ADS