Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chin Huat: Ruang kuasa ketiga kecil dalam sistem pilihan raya semasa

Bulan lalu, Malaysia dikejutkan dengan sidang media melibatkan dua seteru politik lama, Dr Mahathir Mohamad, 95 dan Tengku Razaleigh Hamzah, 83, yang menggesa perubahan dilakukan sebelum berlangsungnya undian Belanjawan 2021.

Kedua-dua pemimpin itu pernah berkhidmat bersama di dalam kabinet, sejak pentadbiran Hussein Onn pada 1976.

Bersama Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang, Rais Yatim, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, mereka dianggap orang lama yang mempunyai pengaruh besar dalam pentas politik negara sekurang-kurangnya dalam tempoh 35 tahun. Lim dan Mahathir masing-masing menjadi ahli parlimen pada 1960.

Pada masa sama, bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengambil haluan sendiri, bebas daripada hegemoni mereka, dan mendaftarkan gerakan muda berbilang kaum, yang digelar sebagai Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai parti politik, dan dijangka berdepan cabaran seperti kesukaran mendapat pengiktirafan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Ramai rakyat Malaysia mengadu yang kita tak ada kepemimpinan baru, tapi tak ramai sedar ia disebabkan masalah institusi. Apa masalahnya? Pemimpin parti kawal ahli parlimen dan Adun, bukannya sebaliknya.

“Jadi, untuk menukar pemimpin parti ni kena berperang saudara dulu dalam parti, melainkan pemimpin tua itu rela hati lepaskan baton. Dengan mengubah pemimpin lebih kerap dapat memberikan lebih ramai perwakilan mempunyai lebih autonomi daripada pemimpin parti mereka.

"Perubahan terpenting yang perlu dilakukan adalah membenarkan pemilihan calon dari bawah ke atas. Seterusnya, memberi jaminan ruang untuk perbezaan pendapat oleh ahli parlimen atau Adun,” kata penganalisis politik Wong Chin Huat dalam siri terakhir wawancara bersama Malaysiakini.

Menariknya, bagi Wong, akta antilompat parti yang selalunya melucutkan kelayakan wakil rakyat yang disingkir, adalah perkara terakhir yang diperlukan.


BERKAITAN: Chin Huat: Dr M nak jadi PM ke akhir hayat


Dia percaya bahawa dengan mengehadkan penggal pentadbiran seseorang perdana menteri, ketua menteri dan mengiktiraf kabinet bayangan, ia akan memberi ruang kepada kelahiran pemimpin-pemimpin masa depan.

“Kalau tak bercakap tentang reformasi ini, agaknya hujung tahun 2050 pun, ada lagi editor tanya penganalisis politik soalan yang sama,” katanya.

Kekecewaan golongan muda dalam masyarakat terhadap dominasi orang tua yang dilihat telah menghimpit negara ke arah kebuntuan politik, dapat tergambar menerusi penubuhan Muda.

 

“Orang muda terang-terangan mahu suara lebih kuat dalam politik negara, memang patut pun begitu. Tapi ruang terlalu sedikit buat kuasa ketiga yang berasaskan umur tertentu, memandangkan pengundi tak boleh secara bebas mengundi parti yang mereka mahukan di bawah sistem First-Past-The-Post (FPTP) [sistem pemenang undi terbanyak].

“Kalau Muda nak bertanding di mana-mana kawasan, ia akan bertembung dengan Perikatan Nasional-BN dan PH, dan dalam keadaan ini, besar kemungkinan Muda akan hilang deposit,” kata Wong.

Wong turut menyarankan Muda untuk bekerjasama dengan kepemimipinan PH.

“Peluang terbaik Muda adalah berunding dengan PH bagi menggantikan Bersatu di kerusi bandar yang diberikan kepada Bersatu pada 2018. Tapi Muda ada satu lagi cabaran: bagaimana nak bekerjasama dengan PH dengan tetap menampilkan tarikan sebagai parti luar kepada golongan muda yang dah kecewa?

"Muda bukanlah satu-satunya parti yang terkesan gara-gara sistem politik semasa. Parti kecil seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) melakukan kerja-kerja akar umbi, tapi bilangan undi yang diperoleh dalam pilihan raya adalah tidak memberangsangkan.

Cabaran kuasa ketiga

“Cabaran terbesar PSM, seperti juga Muda dan kumpulan lain yang nak jadi kuasa ketiga, adalah sistem pilihan raya. Penyokong parti sedemikian tidak tertumpu di kawasan tertentu, bagi (membolehkan mereka) memilih wakil di Parlimen dan DUN.

“Lebih teruk, kebimbangan bahawa mereka hanya membazir undi dengan memilih calon tak boleh menang, akan mendorong ahli politik yang bagus seperti Dr Jeyakumar Devaraj (bekas ahli parlimen Sungai Siput) terkorban akibat undian strategik,” kata Wong.

“Cabaran kedua ialah ketidakcekapan wakil rakyat untuk mengubah atau melaksanakan polisi, jika mereka bukan menteri atau exco negeri. Ini menyebabkan ramai pengundi menilai ahli parlimen berdasarkan kerja di kawasan dan hubungan mereka dengan agensi kerajaan. Ini membuatkan PSM semakin tak menarik buat sebahagian pengundi, berbanding parti yang lebih mungkin menjadi kerajaan.

“Untuk PSM mendapat perwakilan, sedikit pragmatisme boleh membantu, tapi yang paling diperlukan adalah tiga reformasi institusi,” kata Wong.

Perkara yang diperlukan pertama sekali, kata Wong, adalah sistem pilihan raya bercampur, dengan sesetengah kerusi yang disenaraikan parti, bagi membenarkan pengundi mengundi parti pilihan mereka secara langsung.

Kedua, reformasi legislatif bagi memberikan wakil rakyat bukan eksekutif peranan sebenar dalam membentuk polisi dan undang-undang.

Ketiga, pilihan raya tempatan, yang membenarkan pengundi memilih agensi kerajaan (control government agencies) yang lebih baik di peringkat tempatan, dan bereksperimen dengan parti seperti PSM.

Reformasi politik disekat pihak berkepentingan

Sebagai penganalisis politik, Wong banyak membuat cadangan teori yang menarik agar Malaysia mencontohi sistem ahli parlimen tanpa kawasan di Singapura atau sistem berkadar dengan ahli bercampur di New Zealand, tapi sebenarnya, reformasi sebegitu harus bergantung kepada orang sama yang mejerumuskan negara ke dalam kancah politik kini.

Jadi, tidakkah masalah sistem demokrasi kita akan berterusan, malah menjadi makin parah?

“Politik dan sejarah dibentuk oleh struktur (ketetapan objektif) dan agensi (pilihan subjektif). Ramai orang kecewa dengan politik, secara dasarnya kerana mereka fikir ahli politik mempunyai peluang agensi yang besar, tapi mereka tak buat pilihan yang tepat.

“Disebabkan saya berpeluang mengkaji, memerhati, dan berinteraksi dengan mereka, saya mempunyai penilaian lebih realistik tentang apa yang mereka mampu dan tak mampu buat,” kata Wong.

Daripada satu sisi, katanya, kebanyakan ahli politik dikekang oleh struktur, dan sesiapa yang menentang struktur dalam setiap keadaan, berkemungkinan besar akan dihancurkan oleh struktur dalam sekelip mata.


BERKAITAN: 'Umno, PAS, Bersatu ibarat 3 beradik inginkan gadis sama'


Dari sisi lain pula, kebanyakan ahli politik hanya mempunyai kecenderungan berbanding azam - “Saya pilih ini, semua sama saja” berbanding “Saya pilih ini walau apa pun terjadi”.

“Secara teorinya, FPTP memudahkan ahli politik. Asalkan mereka mendapat majoriti bahkan pluraliti di kawasan, mereka boleh dapat kerusi dan mengekalkannya dengan memastikan kedudukan yang betul dan meraih penyokong sendiri.

“Ini sepatutnya memberi mereka autonomi untuk berjuang demi kepentingan terbaik negara, seperti dibayangkan ahli parlimen dan pemikir British, Edmund Burke.

“Hakikatnya, mereka harus memuaskan hati (pengundi) kawasan mereka dengan tidak mengambil pendirian tak popular - dan kebanyakan idea progresif pada awalnya tak popular,” kata Wong.

Wong Chin Huat.

Kata Wong, di Malaysia, FPTP mengekang ahli politik menerusi dua cara.

Pertama, memandangkan pemilihan calon adalah dari atas ke bawah berbanding dari bawah ke atas, bahkan penyandang yang popular pun boleh digugurkan oleh parti, ahli parlimen harus akur pendirian parti meskipun mereka tahu ia salah.

Kedua, kerana parlimen dan DUN kita tidak efektif untuk menggubal dasar dan membentuk polisi. Wakil rakyat selalu dinilai berdasarkan sumbangan mereka dalam perdebatan atau undian perundangan. Mereka dinilai daripada khidmat dan pembangunan kawasan, serta aktiviti membina hubungan, seperti menghadiri acara KBSM (kahwin, bersalin, sakit, meninggal dunia).

“Kesannya, ramai wakil rakyat yang bukan menteri dan exco selalunya tak membina kemahiran polisi. Bila mereka dilaporkan buat komen rasis/seksis/tak senonoh, kita hentam parlimen atau DUN kita macam sarkas, tanpa kita tanyakan kenapa.

“Untuk mengubah ini, kita perlu ada wakil rakyat yang dipilih atas mandat parti di kawasan-kawasan seluruh negeri.

“Dalam kata lain, kita perlu tambah senarai parti ke dalam sistem FPTP kita untuk menjadikannnya sistem Mixed-Member-Majoritarian (MMM).

“Ini serta-merta akan membenarkan parti untuk menjuarai isu seperti kelas, jantina, persekitaran, untuk mendapat sedikit perwakilan dalam perundangan dan mengurangkan isu etnik, agama dan institusi raja.

“Memandangkan wakil rakyat dari senarai parti ini tidak ada kawasan khusus untuk melakukan khidmat kawasan, mereka perlu menunjukkan kecemerlangan menerusi badan perundangan dan jawatankuasa pemilihnya," katanya.

Perubahan boleh dilakukan, bukan hanya teori

“Dalam jangka masa panjang, saya mahu (melihat) separuh wakil rakyat kita dipilih daripada sistem FPTP dan separuh lagi daripada senarai parti,” tambah Wong, dengan menambah perubahan sebegitu tidaklah terlalu jauh untuk digapai jika adanya azam politik.

“Biarpun kerusi senarai parti tak boleh diperkenalkan bersama FPTP tanpa pindaan Perkara 116 (Perlembagaan Persekutuan bahagian pilihan raya persekutuan) dan 117 (bahagian pilihan raya negeri), yang memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat, negeri-negeri yang sudah ada majoriti dua pertiga - seperti Pulau Pinang dan Selangor - sudah boleh pinda perlembagaan negeri untuk memperkenalkan senarai parti dengan mengira FPTP sebanyak dua kali.

“Kerajaan negeri hanya perlu mewujudkan kerusi untuk ‘ahli dicalonkan’ tetapi memperuntukkan kerusi itu secara berkadaran dengan parti-parti yang menyertai pilihan raya negeri, berdasarkan agihan undian FPTP mereka di negeri itu. Parti-parti ini perlu mengemukakan calon mereka untuk (kerusi daripada) senarai parti sebelum hari mengundi supaya pengundi boleh membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Wong turut memaklumkan mengenai perkembangan menarik di Pulau Pinang, apabila kerusi Top-up Women-Only Additional Seats / Kerusi Tampungan Tambahan untuk Wanita Sahaja (TWOAS) dijangka diperkenalkan akhir 2021.

“Maksudnya, parti-parti boleh mencalonkan sehingga 18 calon wanita dan jika bilangan Adun wanita di bawah FPTP kurang daripada 30 peratus (12 daripada 40), ahli TWOAS akan dilantik untuk menampung kekurangan itu, dan kerusi-kerusi ini akan diperuntukkan kepada parti secara berkadaran.

“Dengan anggapan bahawa pilihan raya negeri memberikan hasil sama seperti 2018, dengan hanya enam Adun wanita dipilih, dan PH, BN, dan PAS (masing-masing) menang 67 peratus, 22 peratus, dan 10 peratus daripada undian, maka sembilan wakil TWOAS akan dilantik.

“Iaitu tujuh dari PH, dua dari BN, dan seorang dari PAS, supaya DUN mempunyai 15 wanita (enam wakil norma dan sembilan wakil TWOAS), melebihi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak 49 kerusi," katanya.

Bagaimana reformasi diteruskan?

Selain gesaan untuk reformasi, ramai orang menyuarakan yang mereka mahu perubahan, tetapi apabila sampai masanya - hukuman mati, sekolah vernakular, keistimewaan bumiputera - sebahagian besar membantah sebarang perubahan dilakukan. Bagaimana reformasi sebenar dapat diteruskan?

Wong berkata, sementera kebanyakan reformasi dipandu oleh penolakan terhadap ketidakadilan, reformasi yang berjaya kebanyakannya berlaku apabila kepentingan yang diperjuangkan itu melibatkan ramai pihak.

“Minta orang korbankan ini dan itu, selalunya memang menjamin kelengahan, inersia atau langsung kegagalan.

“Sebaliknya, kita patut tanya bagaimana bagaimana satu reformasi yang tertentu itu dapat memenuhi atau sejajar dengan kepentingan pihak yang menentangnya.

“Contohnya, hukuman mati di AS. Ia sering dikaitkan dengan nilai liberal, seolah-olah seseorang konservatif tu kena jadi liberal dahulu, sebelum (boleh) tentang hukuman mati.

“Sekarang kalau kamu seorang konservatif tegar, adakah kamu akan menjerumuskan diri ke dalam krisis identiti kerana kamu tiba-tiba rasa kasihan terhadap sesetengah tahanan hukuman mati? Tak. Kamu akan tekan rasa simpati kamu dan pertahankan hukuman mati demi mengekalkan identiti,” katanya.

Katanya, untuk menarik lebih ramai orang menyokong pemansuhan hukuman mati, ia harus dipamerkan sebagai nilai sepunya untuk kedua-dua golongan liberal dan konservatif, bukan hanya nilai istimewa golongan liberal.

Dalam kata lain, harus ada hujah bagi menentang hukuman mati, yang dipasakkan pada asas konservatisme.

Dan beginilah caranya ia mendapat tempat di negeri-negeri Republican seperti Kansas, Kentucky, Missouri, Montana dan Wyoming.

Golongan konservatif di sana menentang hukuman mati bukan kerana mereka percaya masyarakat harus bertanggungjawab terhadap jenayah (seperti golongan liberal), tetapi kerana mengekalkan hukuman mati menelan belanja besar daripada kerajaan (kerana di AS, hukuman mati lebih mahal berbanding pemenjaraan), serta kepercayaan bahawa kerajaan (yang mempunyai mahkamah sebagai salah satu cabangnya) tidak boleh melakukan kesalahan. Kedua-duanya bertentangan dengan nilai konservatif.

Katanya, kejayaan reformasi memerlukan kompromi dan tolak penyesuaian. 

"Reformasi dalam konteks ini adalah pembangunan pakatan atau pelarasan semula untuk memperjuangkan sesuatu agenda, bukannya kemenangan yang baik ke atas yang jahat dengan berpandukan apa yang kononnya 'tekad politik'. Sebaliknya, reformasi memerlukan kompromi dan saling memuaskan hati sekutu.

“Begitu juga, kalau kita mahu reformasi hak bumiputera atau pendidikan pelbagai aliran, kita kena kenal pasti sebenar-benarnya kelemahan dia, cari asas sepunya dengan penyokongnya dan cari struktur atau konfigurasi baru yang akan memberi faedah, sekurang-kurangnya kepada sebahagian penyokong," katanya.

Tegasnya, reformasi total tanpa memenangi hati sebahagian pihak berkepentingan dalam status quo, mencerminkan mentaliti pemenang-dapat-semua, yang besar kemungkinannya akan gagal di Malaysia.

“Reformasi dalam erti kata terdalam, mungkin harus bermula dengan membuang sikap menganggap diri selalu betul dan sikap sombong,” tambah Wong.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS