Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal HSR 'bunuh' ekonomi negeri, kata Pemuda Umno Johor
Diterbitkan:  Jan 3, 2021 12:57 PM
Dikemaskini: 4:59 AM

Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ‘membunuh’ ekonomi di negeri itu.

Jelasnya, kesan penamatan HSR bukan sahaja memburukkan reputasi Malaysia terhadap pelabur asing dan keyakinan negara luar, malah memberi kesan kepada ekonomi mikro, khususnya melibatkan tiga daerah di Johor.

“Sebelum ini, pelan pembangunan menunjukkan tiga daerah di Johor terlibat untuk pembinaan stesen HSR iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri (Johor Bahru).

"Apa jadi dengan pelan pembangunan kawasan ini? Mereka yang sudah membeli lot komersial, kediaman di kawasan ini kerana dimomokkan dengan kewujudan pengangkutan awam keretapi laju berdekatan kediaman mereka? Apa jadi dengan mereka semua ini?

“Bagaimana pula dengan 70,000 peluang pekerjaan apabila projek ini dibatalkan? Bagaimana pula dengan peluang perniagaan kontraktor kecil Bumiputera yang boleh mendapat manfaat dan limpahan jika projek ini dijalankan, tetapi sebaliknya berputih mata,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Hairi, pampasan berjumlah RM300 juta yang perlu dibayar kepada Singapura sepatutnya boleh disalurkan bagi membantu rakyat Johor.

“Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer ini dianggarkan menelan belanja RM110 bilion.

“Dan akibat pembatalan ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM300 juta, di mana jumlah itu boleh menampung defisit kewangan Johor dan diagihkan kepada ramai penerima manfaat di negeri ini,” katanya.

Kerajaan Singapura baru-baru ini mengesahkan perjanjian dua hala projek HSR dengan Malaysia ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada jajaran landasan kereta api berkenaan dan perkara ini telah dibincangkan antara dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut.

Ini susulan sidang video antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin pada 2 Dis lalu untuk mengkaji semula status projek HSR, termasuk perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia dalam projek itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed menjelaskan kesan penularan Covid-19 menjejaskan ekonomi menyebabkan perjanjian dua hala projek itu terpaksa ditamatkan.

Sehubungan itu Mohd Hairi mendesak kerajaan memberi penjelasan terperinci berhubung pembatalan projek tersebut.

"Dua isu pokok dan penting yang perlu diperjelaskan serta dimaklumkan kepada umum adalah, pertama Implikasi kewangan kerajaan apabila terpaksa membayar RM300 juta jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura 

"Kedua perancangan kerajaan untuk membantu dan meneruskan kelangsungan tiga daerah yang terlibat dengan stesen HSR ini," katanya.

Lihat Komen
ADS