Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Nora Anne disebabkan nahas, tiada pihak ketiga terlibat
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 12:39 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Mahkamah koroner Seremban hari ini memutuskan bahawa kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin disebabkan kecelakaan.

Koroner Maimoonah Aid berkata tiada pihak ketiga terlibat dalam kematian tersebut yang berlaku pada Ogos 2019 selepas remaja itu hilang dari resort The Dusun di Seremban.

“Selepas mendengar semua bukti yang relevan, saya memutuskan bahawa tiada sesiapa terlibat dalam kematian Nora Anne.

"Kemungkinan besar dia meninggal dunia kerana kecelakaan ketika keluar dari sora house (di Dusun Resort) seorang diri dan kemudian tersesat di kawasan kebun sawit tinggal," katanya semasa prosing terbuka di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.

“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap tindakan dan penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang dibuktikan adalah merupakan pelanggaran kepada tugas saya.

"Dengan ini inkuiri ini ditutup," katanya.

Keputusan itu memakan masa sekitar dua jam apabila koroner merumuskan kesemua keterangan saksi dan disiarkan secara langsung dalam talian.

Hari ini ditetapkan bagi mengetahui keputusan berhubung siasatan mengenai kematian remaja berkenaan.

Seramai 47 saksi, termasuk ibu bapa remaja itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastien Quoirin, memberikan keterangan semasa prosiding inkues yang bermula pada 24 Ogos tahun ini.

Prosiding ini juga disiarkan secara langsung dalam talian melalui portal rasmi badan kehakiman Malaysia melalui YouTube dan Facebook, dan dijalankan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah resort di Pantai dekat Seremban.

Setelah pencarian dilakukan secara besar-besaran, mayatnya ditemui berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort tempat dia dan keluarganya menginap pada 13 Ogos 2019.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja kurang upaya itu tidak mempunyai unsur jenayah dan meninggal dunia akibat pendarahan gastrousus kerana kelaparan dan tekanan yang berpanjangan.

Semasa prosiding hari ini, Maimoonah berkata mahkamah bersetuju dengan keterangan saksi bahawa walaupun mengalami ketidakupayaan mental, namun Nora Anne mampu bergerak sendiri.

Koroner merujuk keterangan bahawa pada hari sebelum Nora Anne dilaporkan hilang, si mati tidak mengalami kesukaran untuk naik dan turun dari tangga berputar di resort tempat keluarga itu menginap

"Kerana kebisingan di luar (di resort berkenaan), Nora Anne mungkin terbangun," katanya, merujuk keterangan sebelum ini mengenai Nora Anne mudah terganggu oleh bunyi bising.

Maimoonah juga merujuk keterangan Meabh bahawa pada malam sebelum Nora Anne dilaporkan hilang, anak-anak pasangan itu tidur dengan seluar dalam akibat cuaca panas.

Koroner berkata mahkamah mendapati bahawa Nora Anne, setelah terbangun akibat tidur tidak selesa kerana cuaca panas dan mengalami jet lag, mungkin meninggalkan tempat tidurnya untuk mencari ibu bapanya.

Koroner berkata remaja itu yang tidak tidak mempunyai masalah mengecam tangga berputar mungkin telah turun untuk mencari ibu bapanya di bilik tidur utama di vila Sora House.

Tambahnya, disebabkan keadaan si mati dan kesukaran mengenalpasti tempat baru (resort berkenaan), dia mungkin kemudian membuka satu tingkap di vila itu dan keluar.

"Dia mungkin sengaja membuka tingkap dengan selak yang patah sambil mencari ibu bapanya.

“Saya sedar ada banyak teori dan spekulasi mengenai kematian Nora Anne.

"Hari ini, (ada yang) berspekulasi mengharapkan teori itu memihak kepada mereka, tetapi ini bukan tujuan saya (dalam membuat keputusan inkues).

"Tugas saya di bawah Kanun Prosedur Jenayah adalah untuk menentukan bila si mati meninggal, di mana dia meninggal, bagaimana dia meninggal, bagaimana dia meninggal, dan apakah ada individu (ketiga) berhubung kematiannya," kata Maimoonah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS