Fairuz: Hukuman tidak langgar al-Quran adalah undang-undang Islam
Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata mana-mana undang-undang yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah adalah undang-undang Islam.
Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata mana-mana undang-undang yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah adalah undang-undang Islam.
Menurutnya, pendapatnya itu dikongsi bersama oleh imam Feisal Abdul Rauf, seorang cendiakawan Islam terkemuka di Amerika Syarikat.
"Saya amat gembira hari ini bahawa Imam (Feisal Abdul Rauf) mempunyai pandangan yang sama dengan saya -- bahawa mana-mana undang-undang yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah merupakan undang-undang Islam. Sekurang-kurangnya saya tidak berbuat sesuatu yang bercanggah sebagai seorang Islam," katanya.
Beliau menyatakan pendapatnya itu di persidangan tahunan hakim-hakim selama tiga hari di Putrajaya.
Imam Feisel dari Amerika Syarikat dan Ketua Hakim Mahkamah Agung New South Wales, J.J. Spigelman, merupakan antara penceramah pada persidangan itu.
Menurut laporan Bernama, Feizal berceramah mengenai perspektif Islam manakala Spigelman mengenai pengurusan kes.
Oleh itu Ahmad Fairuz menolak tanggapan sesetengah orang Islam yang menganggap hakim-hakim beragama Islam dalam mahkamah sivil yang tidak mengendalikan undang-undang syariah bukan hakim yang bagus dan tidak mematuhi agama Islam.
Menyentuh tentang kedudukan mahkamah syriah dalam negara ini pula, Ketua Hakim Negara itu memberi jaminan mahkamah sivil tidak akan merampas fungsi Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syriah
Beliau menegaskan sejak pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil tidak pernah campur tangan dalam undang-undang Islam.
"Kami tidak beri tafsiran mengenai undang-undang syariah. Apa yang kami tafsirkan dalam penghakiman kami biasanya ialah tafsiran kepada peruntukan perlembagaan.
"Orang ramai tidak patut bimbang bahawa kami akan merampas fungsi Mahkamah Syariah,"tegasnya.
Ahmad Fairuz berkata sekiranya mahkamah sivil mahu memberikan sebarang pandangan mengenai perkara-perkara syariah, ia hanya "obiter" (secara kebetulan) mengikut bidang kuasa mahkamah sivil.
Beliau menjawab soalan mengenai tanggapan orang ramai bahawa apabila hakim mahkamah sivil mendengar kes membabitkan Islam, mereka dilihat sebagai campur tangan dalam hal ehwal Islam.
Sesetengah kes itu telah didengar atau diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan termasuk kes membabitkan tiga murid -- Meor Atiqulrahman Ishak dan adik beradik Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad Johari dan Syed Ahmad Syakur -- yang dibuang sekolah kerana enggan menanggalkan serban dan rayuan oleh Lina Joy, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk memadamkan perkataan Islam dari kad pengenalannya.
Ahmad Fairuz berkata mahkamah sivil hanya memutuskan sama ada atau tidak ia boleh mengendalikan perkara-perkara yang menyentuh undang-undang Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Jika Perlembagaan menyatakan ia berada dalam bidang kuasa mahkamah sivil, kami bersedia (mengendalikannya) tetapi sekiranya ia terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, kami tidak akan mengendalikannya tetapi akan menyatakan ia terletak dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
"Kami hanya mentafsirkan Pelembagaan. Jadi kami tafsirkan Perlembagaan mengikut apa yang ia patut ditafsirkan dan apakah hujahan di depan kami.
"Saya tidak faham kenapa orang ramai menjadi keliru," katanya.

