Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Usaha hapus syarikat aset sebab utama HSR batal'
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 5:58 PM
Dikemaskini: 4:13 PM

Usaha Malaysia menghapuskan Syarikat Aset (AssetsCo), yang memerlukan ia ditender secara bersama dengan Singapura merupakan penghalang utama bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung memberitahu parlimen negara itu hari ini bahawa penghapusan AssetsCo menjadi perhatian utama Singapura ketika Malaysia mencadangkan perubahan kepada projek itu, menurut The Straits Times.

Ong berkata, AssetCo akan memastikan kebertanggungjawaban kepada kedua-dua negara.

"Oleh kerana kedua-dua negara tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam mengendalikan HSR, kami bersetuju di bawah perjanjian dua hala HSR untuk melantik pemain industri terbaik dalam kelasnya melalui tender antarabangsa yang terbuka dan telus untuk memikul peranan sebagai AssetsCo.

"Setelah dilantik, AssetsCo akan menyediakan sistem kereta api, mengoperasikan rangkaian, memastikan bahawa keutamaan yang sesuai diberikan kepada perkhidmatan HSR rentas sempadan berbanding dengan perkhidmatan domestik Malaysia, dan bertanggungjawab kepada Singapura dan Malaysia," katanya dipetik sebagai berkata.

Tanpa AssetsCo, Malaysia dan Singapura kemungkinan memberikan tender komponen HSR bagi negara masing-masing dengan pihak lain tidak memiliki banyak suara dalam proses tender berkenaan.

Ong juga dipetik sebagai berkata penghapusan AssetsCo adalah "pelepasan asas" daripada perjanjian dua hala HSR dan tidak boleh diterima.

Pada 1 Januari, perdana menteri kedua-dua negara mengumumkan bahawa perjanjian dua hala mengenai HSR akan ditamatkan selepas kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed, yang bertugas di Unit Perancang Ekonomi, berkata perubahan yang dicadangkan itu perlu kerana projek itu tidak lagi berdaya maju untuk dilaksanakan kerana kekangan ekonomi Malaysia akibat wabak Covid-19.

Dia berkata perubahan itu akan memberikan fleksibiliti kepada Putrajaya dalam membuat pilihan kewangan dan mempercepatkan pemulihan selepas wabak melanda.

Ong, dalam kenyataannya kepada Parlimen Singapura, berkata Malaysia juga ingin mengubah penjajaran HSR di mana ia akan mempunyai stesen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan berkongsi landasan yang sama dengan Express Rail Link (ERL).

"Express Rail Link adalah model sistem kereta api yang ada (yang) bergerak separuh daripada kelajuan HSR, jadi seandainya kita meneruskannya, pasti ada banyak masalah teknik yang harus diselesaikan.

"Tetapi meskipun demikian, perhatian utama kami adalah penghapusan AssetsCo," katanya.

Ong juga berkata jumlah pampasan terdapat dalam penamatan perjanjian dua  hala tetapi mengatakan dia tidak boleh mendedahkan angka itu atas alasan kerahsiaan.

Kerajaan Malaysia, yang mengatakan akan memenuhi kewajibannya, juga belum mendedahkan berapa kos penamatan yang akan ditanggung pembayar cukai di Malaysia.

Portal perniagaan The Edge Markets menganggarkan bahawa pampasan tersebut adalah sekitar RM300 juta.

Ong berkata, Singapura setakat ini menanggung S$270 juta (RM819 juta) bagi projek HSR.

Beliau berkata, Singapura menjangkakan pampasan untuk pelbagai kos kecuali pengambilan tanah yang boleh diperolehi semula.

Pada April 2018, Malaysia dan Singapura mengeluarkan tender untuk melantik AssetsCo dan menarik minat enam pembida.

Bagaimanapun, projek itu ditangguhkan setelah perubahan kerajaan pada Mei tahun itu di mana kerajaan Pakatan Harapan berusaha mengurangkan kos dan diberikan tempoh sehingga penghujung Mei 2020 untuk melakukan rundingan.

Namun, kerajaan PH tumbang pada penghujung Februari 2020 dan kerajaan Perikatan Nasional yang baru mengambil alih rundingan serta diberikan tempoh sehingga Dis tahun yang sama.

Perjanjian dua hala itu tidak termeterai setelah tiada kata sepakat dicapai.

Laluan kereta api sejauh 350km memendekkan masa perjalanan antara Malaysia dan Singapura kepada 90 minit.

Ia melalui stesen di Bandar Malaysia, Sepang-Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Malaysia dan Jurong East di Singapura.

Lihat Komen
ADS