Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sistem kesihatan tahap genting, KKM cadang PKP bersasar

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi peringatan mengenai keadaan wabak Covid-19, dengan mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih "disasarkan" untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Semasa sidang media petang ini, dia berkata sistem penjagaan kesihatan kini sedang berjuang dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang berada pada "tahap genting" (breaking point) sekarang.

"(Ini) kerana kes meningkat setiap hari. Kami mungkin tidak dapat menampung pesakit di kemudahan kami.

"Kami melihat bagaimana kami dapat meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita. Tetapi yang terbaik adalah bukan hanya meningkatkan sistem penjagaan kesihatan kita ... tetapi untuk mengurangkan beban," katanya.

Kata Noor Hisham bukan saja sistem intervensi kesihatan awam seperti pengesanan kontak rapat ditangguhkan, tetapi ia tidak lagi optimal.

Katanya, negara kini memerlukan "pemutus litar" (circuit breaker) dan telah mengusulkan supaya kerajaan menerapkan versi 'PKP bersasar' untuk menurunkan jumlah kes.

"Ini pendekatan yang lebih bersasar. Daripada (melibatkan) seluruh negara seperti apa yang kita lakukan untuk PKP pada 18 Mac tahun lalu.

"Sekarang saya rasa strategi kita akan berubah - kita akan lebih (melihat keadaan) setempat dan disasarkan daripada segi pelaksanaan. 

"Perbincangan sedang berlangsung dan mungkin kita akan membuat beberapa keputusan secepat mungkin,” katanya.

Daripada pendekatan "satu ukuran sepadan untuk semua" dengan pelaksanaan PKPD tahun lalu, Noor Hisham menjelaskan strategi baru yang dicadangkan itu melibatkan peraturan yang berbeza untuk negeri yang berlainan.

Sekatan perjalanan boleh dikenakan di daerah dengan jumlah jangkitan dan kluster yang tinggi.

"Kami sedang melihat keadaan di negeri hijau dan kuning untuk melihat bagaimana kami dapat melindungi mereka, dan mengawal kes daripada meningkat. Ini sangat penting.

"Bagi negeri zon merah, tindakan lebih drastik akan diambil. Kita mungkin melaksanakan tindakan yang lebih disasarkan di negeri-negeri tersebut dengan melihat kluster-kluster di negeri itu.

"Kami juga akan memperketat kawalan sempadan dengan melarang orang melakukan perjalanan merentas negeri dan daerah berdasarkan perkembangan tren (kes) terbaru," katanya.

Walaupun begitu, keputusan tersebut tetap menjadi hak prerogatif kerajaan, tetapi Noor Hisham berkata dia yakin kerajaan akan membuat keputusan yang tepat.

Matlamat strategi yang akan datang ini, jelasnya bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara keselamatan nyawa dan jaminan mata pencarian hidup.

“Kita perlu menyusun strategi dan melihat perincian lanjut kluster, negeri, dan daerah yang disasarkan.

"Jadi, kami dapat menerapkan strategi kami, dampaknya tinggi (dengan) biaya yang wajar dan hasil yang baik," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS